malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak timbul isu MB T'ganu tiada kerana keadaan terkawal, kata exco
ADS

Kerajaan Terengganu berpendapat, tidak timbul apa-apa isu berhubung cara pengurusan banjir di negeri itu dijalankan walaupun Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar tiada.

Mengesahkan keberadaan naib presiden PAS itu di New Zealand sekarang, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata dia sangat berpuas hati dengan semua pihak membantu mangsa banjir di negeri tersebut.

"Sebagai timbalan pengerusi pengurusan bencana negeri, saya sangat berpuas hati di semua lapangan dan pusat penempatan sementara.

"Semua exco dan juga wakil rakyat juga memainkan peranan dengan sangat baik," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Hanafiah yang juga Adun Chukai memaklumkan, Ahmad Samsuri memang berada di Auckland dan akan pulang pada hari ini.

"Insya-Allah menteri besar akan balik dari New Zealand hari ini, tapi jam berapa, tidak dapat dipastikan," katanya lagi.

Malam tadi bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri kini berada di luar negara walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.

Dia juga mendakwa mempunyai bukti yang menunjukkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di di Auckland.

Menurut Lokman, Ahmad Samsuri dan isterinya berlepas ke Auckland pada 11 Dis dan hanya dijangka pulang pada 22 Dis (esok).

Spekulasi mengenai keberadaan Ahmad Samsuri semakin kencang bertiup berikutan dia tidak kelihatan semasa Presiden PAS Abdul Hadi Awang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Terengganu semalam.

Bekas pensyarah universiti itu juga tidak kelihatan ketika Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi melawat mangsa banjir di negeri itu pada hari yang sama.

Setakat pagi ini, lebih 40,000 mangsa banjir ditempatkan di 297 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri Terengganu.

Hanafiah juga berkata keadaan di Terengganu kini terkawal.

"Jadi, tidak timbul soal ketiadaan menteri besar di Terengganu kerana semua urusan banjir disini terkawal," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen