malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
100 kumpulan pelbagai agama hadiri himpunan Yuletide
ADS

Susulan daripada pelbagai kenyataan yang memecahbelahkan serta peningkatan ucapan kebencian di media sosial, semangat perpaduan menghangatkan suasana dewan yang mengumpulkan kira-kira 100 pelbagai kumpulan etnik dan agama dalam sambutan Yuletide malam tadi.

Kira-kira 150 tetamu hadir ke majlis makan malam yang diadakan beberapa hari menjelang sambutan Krismas berkenaan.

Ia juga memperlihatkan lebih ramai orang Islam berbanding penganut Kristian yang menikmati hidangan serta alunan lagu perayaan tersebut.

“Ini mungkin satu-satunya acara agama Kristian yang dihadiri lebih ramai orang Islam daripada orang Kristian,” kata pengasas Kumpulan Christians for Peace and Harmony Malaysia (CPHM), Jason Leong, yang jadi penganjur.

Antara yang hadir pada majlis makan malam itu ialah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mewakili 58 NGO, Jawatankuasa Penyelaras Bersekutu NGO Islam (ACCIN), Pemuda PAS, Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali, pelbagai majlis Islam dan jabatan agama negeri.

Organisasi lain yang turut hadir ialah Hidayah Centre Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Majlis Gereja-gereja Malaysia, Persatuan Muda Buddha Malaysia, dan Majlis Buddha Vajrayana Malaysia.

Tetamu yang hadir pada majlis yang diadakan di Hotel Royale Chulan di Damansara, Selangor menghabiskan sebahagian besar waktu dengan menjamu selera dan berbincang, berkenalan dan berswafoto.

Lee Min Choon

Presiden CPHM Lee Min Choon berkata walaupun mereka tidak berkumpul sejak tiga tahun lalu, perjalanan mereka - sejak ia bermula lapan tahun lalu - menyaksikan banyak langkah kecil diambil secara kolektif untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, "fabrik rapuh perpaduan sosial kita sentiasa diuji dan diancam oleh insiden, ekstremisme, politik, salah faham, kekurangan komunikasi atau kegagalan untuk memahami dan menghargai pandangan dan kepercayaan satu sama lain."

“Kami meraikan perayaan masing-masing, mengajak golongan muda bermain bersama, berkongsi dalam kerja-kerja kebajikan dan bantuan sosial dan kami telah menjadi kawan.

“Walaupun usaha kami ini kecil saja, tidak akan menjadi tajuk utama, dan tidak akan mengubah masyarakat kita dalam masa terdekat, tetapi kami melakukan ini kerana ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan, " kata Lee.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen