malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LANGSUNG | PN tak minta undian belah bahagi kerana tak mengundi - Takiyuddin 
ADS

Dewan Rakyat bersidang buat pertama kali selepas pilihan raya umum ke-15.

Ahli Parlimen hari ini memilih speaker Dewan Rakyat yang baru, serta dijangka mengundi usul percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Malaysiakini melaporkan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini secara langsung:


6.35 petang: Sementara itu, ketua whip PN Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata pembangkang tidak meminta undi belah bahagi kerana tidak mahu mengundi “dokumen yang tidak sah”.

Dia merujuk kepada memorandum persefahaman antara parti-parti kerajaan untuk membentuk kerajaan perpaduan dan mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Kita tidak minta undi (belah bagi) sebab kita tak mengundi,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pula berkata tidak semestinya undian belah bahagi dijalankan.

Katanya terdapat duluan pada 70-an ketika usul sama lulus dengan undian suara.


6.12 petang: Usul percaya terhadap perdana menteri lulus dengan undian suara, bukan undian belah bahagi.

Anwar kekal sebagai perdana menteri.


MOU lebih baik dari SD - Dzulkefli 

5.30 petang: Dzulkefli Ahmad (PH-Kuala Selangor) mempertahankan pemeteraian memorandum persefahaman antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

Dzulkefly Ahmad

Katanya, amalan itu dapat beralih daripada kebergantungan kepada akuan bersumpah (SD) yang boleh “menghuru-harakan sistem”.


Biar mereka undi sesama sendiri - Shahidan

5.20 petang: Shahidan Kassim (PN-Arau) mencadangkan PN tidak mengambil bahagian dalam undi percaya.

Shahidan Kassim

Katanya, tiada lagi keperluan berbuat demikian kerana Yang di-Pertuan Agong sudah pun melantik Anwar.

“Biar mereka undi sesama sendiri,” katanya.


Beralih pada pelbagai sumber - Rafizi

4.55 petang: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan menyasarkan untuk beralih kepada kebergantungan kepada pelbagai sumber yang lebih kukuh, lestari dan progresif.

Dia juga mahu ekonomi Malaysia bergerak melampaui kebergantungan kepada komoditi dan pembuatan bernilai rendah dan beralih kepada ekonomi berasaskan teknologi, bernilai tambah, kreativiti dan inovasi.


Rafizi langgar kebiasaan, ambil bahagian dalam perbahasan

4.48 petang: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melanggar kebiasaan dengan mengambil bahagian dalam perbahasan. Bagaimanapun, tiada larangan untuk menteri berbuat demikian.

Menyentuh penolakan PN kepada gelaran “kerajaan perpaduan”, Rafizi (PH-Pandan) berkata gabungan pembangkang tiada dalam kerajaan pemimpin utama mereka sendiri menolak tawaran membentuk kerajaan bersama.


Semaklah akaun PN, kata Fadhli Shaari 

4.45pm: Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mencabar kerajaan menyemak akaun mereka dan membuktikan jika benar terdapat wang judi digunakan sebagai dana pilihan raya.

Ketua pemuda PN itu berkata kerajaan sudah berhenti bercakap tentang usaha melawan rasuah dan sebaliknya menyasarkan PAS.


Takiyuddin dakwa PN ditawar jawatan kabinet

4.05 petang: Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendakwa PN ditawarkan jawatan kabinet dan perbelanjaan pilihan raya mereka dibayar balik jika mereka menyertai kerajaan. Namun tawaran itu ditolak gabungan itu.

Takiyuddin tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai dakwaan tersebut.

Takiyuddin berkata undi percaya adalah tidak perlu dan bersifat akademik, kerana Anwar telah pun mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Dia berkata adalah lebih munasabah undian dilakukan sebelum seseorang perdana menteri dilantik.


Ronald tunjuk ‘bukti’ tentang status wakil rakyat GRS

4.25 petang: Ronald Kiandee (PN-Beluran) membacakan surat dikatakan daripada Bersatu Sabah kepada Muhyiddin Yassin sebelum pilihan raya umum.

Surat itu memaklumkan bahawa enam calonnya akan bertanding bawah lambang Gabungan Rakyat Sabah.

Perkara itu, katanya, membuktikan bahawa anggota parlimen GRS adalah calon Bersatu.

Empat anggota parlimen GRS sebelum ini mendakwa mereka telah keluar Bersatu secara diam-diam sebelum pilihan raya dan menyertai GRS.


Jangan salah guna ruang yang diberikan - Lim

3.50 petang: Lim Guan Eng (Harapan-Bagan) berkata berdasarkan prosedur parlimen. usul percaya sebenarnya tidak perlu dibahas.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu dibenarkan memandangkan kerajaan sedia ada mengamalkan demokrasi.

“Jangan salah gunakan ruang diberikan kepada ketua pembangkang,” katanya.

Hamzah Zainuddin

Lim merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang  Hamzah Zainuddin bahawa terdapat media Eropah menerbitkan artikel yang merujuk Anwar sebagai "homoseksual sepenuhnya".

“Kalau kita dengar ucapan tadi… satu tuduhan oleh sebuah surat khabar yang kita tak pernah dengar langsung.

“Ini satu perbuatan amat jahat,” katanya.


Lagi insiden jerit menjerit, speaker beri amaran

3.40 petang: Sany Hamzah sekali lagi mengecam ahli parlimen pembangkang dengan menggelarkan Awang Solahudin (PN-Pendang) sebagai beruk.

Dia mendakwa ahli parlimen Pendang itu telah menghinanya terlebih dahulu.

Hal itu menimbulkan kemarahan speaker, Johari Abdul yang memberi amaran kepada Sany dan ahli-ahli parlimen lain bahawa dia tidak akan bertolak ansur dengan tingkahlaku sedemikian dan akan mengambil tindakan jika mereka mengulangi perkara sama.


3.30 petang: Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengingatkan Anwar Ibrahim (PH-Tambun) supaya konsisten terhadap agenda reformasi dan antirasuah selepas menjadi perdana menteri.

Dia juga mengingatkan Anwar supaya berpegang kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) dan memastikan kebebasan bersuara kepada semua pihak.

Berkaitan dakwaan PN menggunakan dana judi dalam pilihan raya umum lalu, Hamzah berkata perkara itu patut dibangkitkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Zafrul memegang portfolio kewangan ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini.


Ketua pembangkang cabar Anwar saman media Eropah gelarnya homoseks

3.25 petang: Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyaman media Eropah, yang telah menerbitkan artikel mengenai pelantikannya sebagai perdana menteri dengan menggelarnya sebagai "homoseksual sepenuhnya" (full-blown homosexual).

Hamzah berkata ia jelas adalah satu penghinaan kepada Anwar, dan dia mesti mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Dia berkata Anwar sebelum ini telah disabitkan "mengenai perkara itu", merujuk kepada sabitan kesalahan liwat sebelum ini, tetapi mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.


Dewan kembali tenang, ketua pembangkang mula bahas

3.18pm: Shahidan Kassim (PN-Arau) kedengaran berkata “bodoh”, sehingga menimbulkan kemarahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).

“Siapa yang bodoh?”soal Sany berulang kali.

Johari cuba mengawal keadaan Dewan dan mengarahkan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) supaya duduk dan tidak membuat kacau.

Keadaan kecoh itu bagaimanapun kembali tenang dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin dijemput sebagai ahli parlimen pertama yang membahaskan usul percaya terhadap Anwar.


MP saling bertekak

3.15 petang: Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan peraturan mesyuarat dengan mengatakan nama Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya digunakan untuk mewajarkan usul percaya itu.

Keadaan itu menimbulkan kekecohan apabila Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengatakan Anwar tidak seperti Muhyiddin Yassin dan perdana menteri itu cukup berani untuk berdepan undi percaya.


TPM bentangkan usul percaya terhadap Anwar

3.10 petang: Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan rang undang-undang mengenai Kumpulan Wang Disatukan untuk bacaan kali pertama. Bagaimanapun, butiran rang undang-undang itu belum diberikan kepada media.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kini membentangkan usul percaya terhadap Anwar.


Anwar ucap takziah pada mangsa kejadian tanah runtuh

3.05 petang: Anwar mengucapkan takziah kerajaan kepada mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, dan banjir di Terengganu.

Dia memberikan perkembangan terkini Dewan Rakyat mengenai status semasa mangsa, dan berterima kasih terhadap anggota pasukan penyelamat atas usaha keras mereka.

Anwar juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong kerana kesudian kedua-dua baginda melawat lokasi kejadian baru-baru ini.

Tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat lalu mengorbankan 24 orang, dengan sembilan yang lain masih belum ditemui.


MP PH, BN dipilih sebagai timbalan speaker

2.15 petang: Ramli Md Nor (BN-Cameron Highlands) dan Alice Lau (PH-Lanang) dipilih sebagai timbalan speaker.

Ramli mendapat 148 undi iaitu majoriti dua pertiga, manakala Lau mendapat 146 undi.

Tidak jelas siapa dua ahli parlimen kerajaan yang tidak mengundi Lau.

Sementara itu calon pembangkang, Mas Ermieyati pula mendapat 74 undi.

Selepas keputusan diumumkan, Shahidan Kassim (PN-Arau) secara berseloroh mengucapkan tahniah kepada Umno dan DAP.

Dia kemudiannya menyanyikan lagu ‘penyamun’ yang telah diubah suai senikatanya oleh penyokong PH daripada lagu tema PH, Aduh Malaysia selepas PRU15.


PN calonkan Mas Ermieyati sebagai timbalan speaker

2.35 petang: PN mencalonkan Mas Ermieyati Samsuddin (PN-Masjid Tanah) sebagai timbalan speaker.

Pemilihan melalui undi akan diadakan memandangkan terdapat tiga calon untuk dua kerusi timbalan.

Ahli parlimen perlu mengundi sama ada satu atau dua calon yang dicalonkan dan ahli parlimen yang dicalonkan dibenarkan mengundi untuk diri mereka sendiri, kata Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.


Dewan Rakyat kembali bersidang

2.30 petang: Aturan urusan mesyuarat selepas makan tengah hari ialah pemilihan timbalan speaker.

Ahli Parlimen Cameron Highland dari BN, Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang dari PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan.

Tidak jelas sama ada PN mempunyai calon timbalan speaker.

Terdapat dua aturan urusan mesyuarat selepas itu sebelum usul percaya terhadap Anwar Ibrahim dibentangkan.


Semua MP selesai angkat sumpah

1.10 tengah hari - Semua 222 anggota parlimen telah selesai mengangkat sumpah.

Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan untuk rehat dan makan tengah hari.

Ia dijadual bersambung semula pada jam 2.30 petang ini.


20 MP masih belum angkat sumpah

12.55 tengah hari: Dewan Rakyat meluluskan usul untuk melanjutkan sesi sebelah pagi selepas 1 tengah hari - iaitu waktu Dewan Rakyat dijadualkan berhenti rehat.

Ini supaya upacara angkat sumpah bagi semua ahli parlimen dapat diselesaikan sebelum waktu rehat.

Sehingga berita ini ditulis, kira-kira 20 ahli parlimen pembangkang masih belum mengangkat sumpah.


‘Timbalan menteri tiba lewat kerana tidak sihat’

12.40 tengah hari: Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof menjelaskan Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib lewat tiba ke parlimen kerana tidak sihat.

FMT memetik Fadillah sebagai berkata ini menyebabkan ahli parlimen GPS itu lewat dalam perjalannya ke parlimen dan tidak tiba tepat pada masanya untuk mengundi speaker baru.


Dewan Rakyat bahas undi percaya terhadap Anwar

12.30 tengah hari: Perbahasan usul percaya terhadap Anwar Ibrahim akan diadakan sebelum ahli parlimen melakukan undian.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (Harapan-Pandan) menerusi Twitter berkata dia antara yang akan terlibat dalam perbahasan tersebut kira-kira jam 3.30 petang ini.

Usul itu dijangka dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) pada sesi sebelah petang.


MP pembangkang mula angkat sumpah

12.20 tengah hari: Ahli parlimen pembangkang mula mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) mendahului mereka diikuti Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh), dan Abdul Hadi Awang (PN-Marang).


Kumpulan bantah sekatan video Tik Tok

12.07 tengah hari: Sekumpulan sembilan ahli Kami Anak Muda Indipenden (KAMI) tiba di parlimen.

Mereka dilihat memakai baju-T hitam yang tertera logo kumpulan mereka.

Kumpulan itu cuba menyerahkan memorandum kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membantah sekatan terhadap Video Tiktok yang melanggar garis panduan kerajaan baru-baru ini.

Memorandum mereka diterima oleh kakitangan kementerian Komunikasi dan Digital, Ahmad Firdaus Mohd.

KAMI merupakan sebuah kumpulan pro-PN.


Penyokong kerajaan angkat sumpah

11.40 pagi: Ahli Parlimen blok D Dewan Rakyat kini mengangkat sumpah, dengan Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) menjadi yang pertama, diikuti bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

Blok D terdiri daripada 61 ahli parlimen, yang kesemuanya adalah penyokong kerajaan.

Selepas mereka, giliran ahli parlimen pembangkang pula mengangkat sumpah.


NGO pro-Najib mahu siasatan terhadap Nazlan dinyahklasifikasi

11:16 pagi: Gabungan NGO yang dikenali sebagai ‘Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Dato Sri Najib’ memohon semakan dan nyahklasifikasi laporan siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketika membaca memorandum mereka di luar pintu Parlimen, jurucakap NGO itu Lokman Noor Adam mendakwa Nazlan mempunyai "konflik kepentingan" ketika mengadili perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib. Dia mendakwa sabitan bersalah terhadap Najib adalah "dirancang".

Lokman menambah siasatan SPRM mendapati Nazlan boleh didakwa di bawah Seksyen 220 Kanun Keseksaan, berkaitan hakim yang "melakukan rasuah atau berniat jahat menyebabkan mana-mana orang dibicarakan atau dikurung".

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Beberapa wakil memasuki kawasan parlimen untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.


Semua menteri, timbalan selesai angkat sumpah

11.15 pagi: Semua menteri dan timbalan menteri yang merupakan ahli parlimen selesai mengangkat sumpah.

Ini diikuti oleh Zahir Hassan (PH- Wangsa Maju) yang menjadi ahli 'backbencher' (penyokong) kerajaan pertama mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen.


Penyokong tuntut keadilan untuk ‘Bossku’

11:05 pagi: Sekumpulan ahli NGO tiba di luar pagar parlimen untuk menuntut keadilan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan.

Lebih 100 penyokong berkumpul namun hanya 10 orang daripada mereka dibenarkan berada berdekatan pintu pagar parlimen, kata bekas ahli majlis tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

Para penyokong kelihatan memegang sepanduk bertulis "bebaskan Najib" dan "keadilan untuk Bossku"

Mereka memohon untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.


Timbalan menteri terlepas peluang undi Speaker

11.05 pagi: Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib kini berada di parlimen dan telah mengangkat sumpah.

Dia dipercayai tiba lewat di parlimen dan terlepas peluang untuk mengundi Speaker Dewan Rakyat yang baru.


Seorang MP kerajaan didapati tidak hadir

10.45 pagi: Jumlah ahli parlimen yang mengundi semasa pemilihan speaker ialah seramai 221 orang, kurang satu daripada jumlah keseluruhan 222 ahli parlimen.

Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib (GPS-Mukah) merupakan ahli parlimen yang tidak hadir pada sidang hari ini.

Tidak jelas mengapa dia tidak berada di Dewan Rakyat.

Sekiranya Hanifah hadir, seramai 148 ahli parlimen berpihak kepada kerajaan, dengan Johari dijangka memperoleh majoriti dua pertiga undi sebagai speaker.


Ahli parlimen angkat sumpah

10.40 pagi: Ahli Parlimen angkat sumpah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) adalah yang pertama mengangkat sumpah, diikuti oleh dua timbalan perdana menteri.


Johari gesa Ahli Parlimen utamakan kepentingan negara

10.35 pagi: Johari Abdul berikrar menggunakan pengalamannya sebagai bekas diplomat, ahli perniagaan dan ahli parlimen untuk menjalankan tugas sebagai speaker DewanRakyat yang baru. Dia juga berikrar akan menjalankan tugasnya dengan adil.

Johari turut menyeru ahli parlimen supaya mengutamakan kepentingan negara, dan bukannya menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan perang politik.

Dia juga berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pembentukan kerajaan baru dan berterima kasih kepada pengundi kerana menjalankan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum ke-15.

Speaker kemudian meminta Dewan Rakyat bertafakur kepada mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali.


Johari Abdul dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat

10.25 pagi: Johari Abdul dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat dengan 147 undi, kurang satu undi daripada majoriti dua pertiga.

Calon pembangkang iaitu Ahli Parlimen Kangar, Mohd Radzi Sheikh Ahmad mendapat 74 undi.

Selepas Johari memakai jubah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Shahidan Kassim (PN-Arau) didengar menyindir “tahniah Umno.”


Sekumpulan individu berhimpun depan parlimen

10.15 pagi: Sekumpulan kira-kira 20 orang dilihat berkumpul beberapa ratus meter di jalan menuju ke parlimen, dengan menaikkan beberapa kain rentang bagi menuntut kerajaan menangani isu kos sara hidup.

Kumpulan yang dikenali sebagai Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) itu dilihat membawa sepanduk menggesa kerajaan meluluskan pengeluaran one-off daripada KWSP.

Menurut kenyataan PGIR, antara yang patut diberikan kebenaran mengeluarkan KWSP ialah suri rumah dan ibu tunggal yang tiada pendapatan stabil, bekas pekerja swasta yang diberhentikan atau berhenti serta sukar mendapatkan pekerjaan tetap.

Anggota polis berpakaian seragam juga dilihat berada di siti ketika kumpulan itu menunggu kenderaan rasmi milik ahli parlimen memasuki parlimen.

Memorandum kumpulan itu diterima bekas ahli parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

10.15 pagi: Seperti amalan biasa bagi sesi pertama persidangan parlimen selepas pilihan raya umum, Yang di-Pertuan Agong tidak menghadiri persidangan hari ini.

Sebaliknya, titah baginda supaya parlimen bersidang dibacakan oleh setiausaha Dewan Rakyat.


Proses pengundian lantik speaker bermula

10.07 pagi: Pengundian bagi memilih Speaker Dewan Rakyat sedang berlangsung.

Kerajaan mencalonkan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Kangar Mohd Radzi Sheikh Ahmad.


Parlimen mula bersidang

10 pagi: Loceng dibunyikan menandakan sesi persidangan parlimen bermula.


Beratur panjang

9.25 pagi: Individu bukan ahli parlimen mengambil masa kira-kira 30 minit untuk beratur memasuki bangunan parlimen, jauh lebih lama daripada sebelumnya.

Petugas media berada di bilik tanpa tingkap - dikenali sebagai "penjara bawah tanah" - di mana mereka boleh mengikuti sesi perbhasan melalui televisyen.

Ahli Parlimen kadang kala mengadakan sidang media di bilik media berkenaan.


Sidang dimulakan dengan pemilihan speaker

9 pagi: Seperti biasa, sidang Dewan Rakyat hari ini akan bermula pada pukul 10 pagi.

Ahli Parlimen akan terlebih dahulu memilih speaker Dewan Rakyat yang baru.

Johari Abdul dari PKR merupakan calon kerajaan bagi mengisi jawatan itu manakala PN akan mencalonkan Ahli Parlimen Kangar, Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Sebaik sahaja speaker baru dipilih, ahli parlimen kemudiannya akan mengangkat sumpah dan selepas itu akan memilih timbalan speaker.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Md Nor dari BN, dan Ahli Parlimen Lanang dari PH, Alice Lau dijangka menjadi calon kerajaan bagi jawatan timbalan speaker.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan usul agar polis memastikan ahli parlimen tidak dihalang memasuki Parlimen.

Selepas itu, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang mengenai Kumpulan Wang Disatukan bagi bacaan kali pertama.

RUU bagi bacaan kali pertama tidak akan melalui perbahasan dan merupakan perkara prosedur.

Ini akan diikuti dengan undi percaya terhadap Anwar Ibrahim yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Rang undang-undang Kumpulan Wang Disatukan dan usul bagi peruntukan lain berkemungkinan besar akan dibahaskan esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen