malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah arah kerajaan bayar RM5 juta kepada keluarga Altantuya
ADS

Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kerajaan dan tiga yang lain membayar RM5 juta kepada keluarga mendiang warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh pada 2006.

Keputusan hakim mahkamah sivil Vazeer Alam Mydin Meera yang memihak kepada keluarga Altantuya pagi ini dibuat 15 tahun selepas tindakan sivil difailkan pada 2007.

Tiga plaintif - Shariibuu Setev dan Altantseseg Sanjaa yang merupakan bapa dan ibu mendiang, serta abang Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal - memfailkan saman RM100 juta.

Saman itu menyasarkan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) - Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar - serta penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera. Mahkamah jenayah berasingan mensabitkan Azilah dan Sirul Azhar atas pembunuhan itu dan menjatuhkan hukuman mati pada April 2009.

Bagaimanapun, mahkamah jenayah membebaskan Razak daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu tanpa dipanggil pembelaannya pada Oktober 2008.

Semasa prosiding yang dijalankan dalam talian hari ini, Vazeer memerintahkan empat defendan turut membayar faedah tahunan sebanyak lima peratus bagi pampasan RM5 juta, serta setiap defendan membayar kos RM25,000 kepada keluarga.

Vazeer - yang sebelum ini dinaikkan ke Mahkamah Rayuan tetapi hari ini mempengerusikan kes Mahkamah Tinggi - memutuskan bahawa keluarga Altantuya berjaya membuktikan saman sivil mereka terhadap empat defendan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Hakim berkata bahawa kedua-dua bekas pegawai polis itu terbukti telah "membunuh dengan kejam" si mati dalam perbuatan membunuh yang menyalahi undang-undang, berdasarkan keterangan beberapa saksi untuk keluarga itu.

Vazeer berkata keterangan ketua jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Shah Mahmood menunjukkan bahawa Altantuya ditembak dan "diletupkan" dengan bahan letupan yang diikat pada badannya yang telanjang, dengan letupan kuat yang menyebabkan serpihan daging dan tulang bertaburan di pelbagai tempat di kawasan hutan di Puncak Alam.

Vazeer menyatakan bahawa Razak juga bertanggungjawab kerana dia adalah kaitan penglibatan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu pada akhir Oktober 2006.

Hakim menegaskan, dua bekas anggota polis itu tidak mengenali mangsa jika tidak kerana Razak meminta bantuan daripada Azilah untuk menangani isu Altantuya cuba bertemu Razak di rumahnya (Razak).

Vazeer berkata keterangan semasa perbicaraan mahkamah sivil ke atas saman itu menunjukkan bahawa Altantuya dan sepupunya Namiraa Gerelmaa datang ke Malaysia pada Oktober 2006 untuk bertemu Razak, yang disebut hakim sebagai individu yang menjalin hubungan dengan Altantuya ketika itu.

Hakim berkata keterangan Namiraa menunjukkan Altantuya mahu mengutip bayaran daripada Razak atas kerja terjemahan yang dia lakukan untuknya di Paris.

Bagaimanapun, mahkamah tidak memberikan butiran lanjut mengenai kerja terjemahan yang dilakukan oleh Altantuya untuk Razak.

Vazeer berkata Razak dalam pernyataan pembelaannya mengakui melibatkan bantuan Azilah bagi menangani isu Altantuya mengganggu Razak.

“Defendan pertama dan kedua (Azilah dan Sirul) tidak mengenali si mati sebelum tarikh 19 Okt 2006 (ketika dua bekas polis itu bertemu Altantuya di luar rumah Razak dan mengiringinya pergi).

“Terdapat motif yang boleh dilihat untuk defendan pertama dan kedua meletupkannya dengan bahan letupan gred tinggi.

"Satu-satunya kaitan antara defendan pertama dan kedua dengan si mati ialah defendan ketiga (Razak)," kata Vazeer.

Hakim itu juga berkata kerajaan yang merupakan defendan keempat bertanggungjawab secara wakil atas tindakan menyalahi undang-undang Azilah dan Sirul yang menggunakan sumber pasukan polis.

Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili keluarga manakala Azilah dan Sirul tidak diwakili.

Peguam Manjeet Singh Dhillon bertindak bagi Razak manakala peguam kanan persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin mewakili kerajaan.

Azilah kini dipenjara sementara menunggu hukuman mati di Malaysia.

Sirul bagaimanapun telah melarikan diri ke Australia, sebelum mahkamah tertinggi Malaysia mengekalkan sabitan dan hukuman mati kedua-duanya pada 2015.

Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membatalkan keputusan bersalah kedua-dua lelaki itu. Sirul telah terbang ke Australia selepas keputusan Mahkamah Rayuan dan semasa pihak pendakwaan merayu kepada mahkamah tertinggi..

Sirul kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Australia, yang mempunyai dasar untuk tidak menghantar pulang sesiapa yang menghadapi hukuman mati di negara asal.

Lihat Komen