malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jho Low dipercayai buka syarikat pelaburan di Taiwan
Diterbitkan:  Dec 14, 2022 8:42 PM
Dikemaskini: 12:42 PM
ADS

Dalam usaha mengesan lokasi Low Taek Jho (Jho Low), dua pengarang buku mendakwa telah menemui satu lagi perniagaan milik warga Malaysia yang kini dalam buruan itu.

Menurut Bradley Hope dan Tom Wright dalam klip video YouTube terbaru mereka hari ini, Jho Low mungkin pengerusi syarikat pelaburan yang berpangkalan di Taiwan, MingShi Investment Co Ltd.

Berdasarkan kajian mereka, Jho Low menggunakan nama sebenarnya dalam syarikat itu yang ditubuhkan pada November 2017.

MingShi Investment mempunyai alamat perniagaan di Daerah Xinyi di Taipei City di Taiwan, dengan modal langgan sebanyak 7,000,000.

Kedua-dua penulis itu bagaimanapun tidak jelas sama ada jumlah ini dalam Dolar Taiwan Baru (RM1.007 juta) atau Yuan China (RM4.42 juta).

“Ia benar-benar satu lagi contoh kebolehan Jho Low yang sukar dipercayai apabila masih berada dalam perniagaan di seluruh dunia di negara seperti Taiwan menggunakan namanya sendiri.

“Dia membentuk syarikat ini pada November 2017. Kita bercakap mengenai tempoh selepas skandal 1MDB, selepas pada satu tahap di mana anda boleh mencari nama Jho Low dan melihat butiran yang membimbangkan,” kata Hope.

Semakan lanjut oleh kedua-dua penulis itu mendedahkan bahawa pada permulaan penubuhannya, pengarah syarikat itu ialah isteri Jho Low, Chuan Teik Ying. Jho Low adalah pengerusi Mingshi Investment.

Bagaimanapun, Chuan kemudiannya disingkirkan sebagai pengarah pada Mei 2019.

Hope dan Wright berkata bahawa Jho Low dan Chuan bergabung dengan syarikat lain, Bright Vision Holdings Ltd, yang mereka percaya berpangkalan di Samoa.

Mereka menyatakan bahawa Bright Vision adalah maklumat baru dalam siasatan mereka. Bagaimanapun, mereka tidak mendedahkan lebih lanjut.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini.

Hope dan Wright, yang kedua-duanya merupakan pengarang buku "Billion Dollar Whale" mengenai Jho Low, telah secara aktif dan terbuka memburu ahli perniagaan itu, cuba mencari lokasinya di bawah inisiatif yang dipanggil "Project Brazen".

Mereka sebelum ini mendakwa bahawa Jho Low juga telah menubuhkan sebuah firma British Virgin Islands yang berpangkalan di Shanghai dan menerima maklumat yang menunjukkan Jho Low berada di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam video berasingan, Hope dan Wright juga mendakwa bahawa walaupun Jho Low tinggal di tanah besar China sejak bekas perdana menteri Najib Razak hilang kuasa, keluarga Jho Low dari Pulau Pinang kini berpangkalan di Hong Kong.

Sementara itu, Wright berharap lokasi Jho Low akan menjadi lebih "isu politik" di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Kami percaya Anwar menjadi perdana menteri memberi peluang yang lebih besar untuk Malaysia mula aktif meminta pihak berkuasa China menghantar Jho Low pulang," katanya.

Memetik sumber, Hope berkata kes Jho Low akan diteliti sekali lagi dan tidak lagi 'disapu di bawah karpet'.

Sambil menyatakan bahawa terdapat beberapa halangan dalam rundingan antara China dan Malaysia, dia berkata kedua-dua negara berpotensi meraih banyak manfaat.

“Saya fikir China mempunyai banyak manfaat kerana mereka boleh memulihkan kepercayaan. Malaysia mempunyai banyak manfaat kerana mereka boleh menutup kes ini dan mungkin mendapatkan lebih banyak wang (yang hilang),” tambahnya.

Jho Low, yang dituduh menyeleweng wang daripada 1MDB, berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya. Selain meminta pemulangan dana itu, 1MDB dan anak syarikatnya juga menuntut ganti rugi untuk dinilai oleh mahkamah.

Jho Low juga menghadapi pertuduhan jenayah kerana peranannya dalam skandal 1MDB dan dikenakan lapan pertuduhan tanpa kehadiran pada 2018 di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, 2001 (Akta 613).

Lihat Komen