Kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mengkaji cara untuk menggantikan ahli politik yang memegang jawatan dalam pertubuhan-pertubuhan sukan, kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim.
Kamil berkata ini bagi memastikan industri sukan di negara ini dapat terus diperbaiki.
"Saya mengharapkan kerajaan baru akan mengkaji cara untuk menggantikan ahli politik dengan mereka yang mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam sukan tertentu.
"Ahli politik yang masih menguasai industri sukan perlu diganti dengan orang yang lebih layak contohnya bekas atlet sukan dan mana-mana individu yang mempunya kepakaran dalam bidang sukan tertentu," katanya.
Dia berkata demikian sebagai mengulas mengenai beberapa ahli politik yang memegang jawatan-jawatan penting dalam pertubuhan sukan negara.
Kamil mengambil contoh Ahli parlimen Arau, Shahidan Kassim selaku Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang menurutnya tidak membawa sebarang pembaharuan ketara dalam arena olahraga tanah air
"Bahagian manakah track record' Shahidan melayakkannya mengetuai kesatuan olahraga mahupun Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM)?" soalnya.
"Adalah tugas dan tanggungjawab bersama semua pihak berkepentingan untuk memastikan urus tadbir yang baik di setiap peringkat supaya industri sukan di negara ini dapat terus diperbaiki seterusnya melahirkan lebih ramai atlet yang berkelayakan dan bertaraf antarabangsa.
"Usaha untuk membangunkan industri sukan adalah usaha bersama. Justeru ayuh bersama bekerja ke arah memartabatkan industri sukan dalam negara," katanya.
Sementara itu, Kamil berkata kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli yang mendakwa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah sebenarnya cuma mengulangi pendirian dan kenyataan perdana menteri sebelum ini.
"Masalah rasuah di negara ini adalah masalah sistemik. Kenyataan umum sedemikian sewajarnya disahut oleh semua pihak dengan nada yang positif.
"Bahkan SPRM beberapa bulan yang lalu jelas menyebut bahawa wujud aktiviti rasuah dalam industri sukan negara.
"Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah sekiranya kita terus menerus berada dalam sindrom penafian," katanya.
Adam sebelum ini dilaporkan berkata bahawa rasuah dalam badan sukan mesti ditangani bagi membolehkan atlet Malaysia merealisasikan potensi penuh.
Adam bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai unsur rasuah dalam badan sukan.
Susulan itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Mohamad Norza Zakaria dan Shahidan membidas Adam dan menggesa ahli parlimen Hang Tuah Jaya itu menunjukkan bukti badan sukan dibelenggu rasuah.

