Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mengesahkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan BN di negeri itu, selaras dengan perkembangan politik semasa di peringkat persekutuan.
Ini bermakna lima Adun PH, yang sebelum ini di blok pembangkang bersama dua wakil Perikatan Nasional (PN) kini bertukar posisi ke blok kerajaan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan itu dicapai susulan hasil pertemuan dengan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

“Ini dapat dilihat menerusi perubahan kedudukan susunan Adun dalam dewan serta pelantikan ketua pembangkang yang baharu. Secara tidak langsung semangat kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan turut dibawa di Melaka.
“Kerajaan ini adalah kerajaan perpaduan. Dalam tempoh yang singkat banyak penarikan yang kita buat, tapi saya yakin bahawa hasrat untuk memastikan kerajaan stabil dan melaksanakan pelbagai program yang berkaitan rakyat,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Alor Gajah itu, kerajaan negeri yang amat stabil berjaya dibentuk di Melaka kerana kini terdapat 26 daripada 28 Adun di blok kerajaan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 kerusi disandang BN, PH (lima) dan PN (dua).
Selain Adly yang juga Adun Bukit Katil, empat lagi wakil PH adalah Leng Chau Yen (Bandar Hilir), Low Chee Leong (Kota Laksamana), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) dan Alex Seah Shoo Chin (Kesidang).
Adun Bemban Dr Mohd Yadzil Yaakub, yang juga pengerusi PN negeri, kini menjadi ketua pembangkang baharu.

