malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Majlis Perbandaran Kota Bharu tangguh tindakan kunci tayar di petak parkir
Diterbitkan:  Dec 9, 2022 8:49 AM
Dikemaskini: 12:49 AM
ADS

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menangguhkan tindakan kunci tayar dalam petak parkir kenderaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang sebulat suara memutuskan bahawa ia tidak sah.

Dalam kenyataan semalam, MPKB-BRI berkata pihak mereka akur dan menghormati keputusan itu.

"Pihak MPKB-BRI telah mengarahkan peguamcara Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz (Panel Peguam MPKB-BRI) untuk memohon alasan penghakiman penuh berkaitan dengan keputusan kes tersebut sebelum membuat keputusan sama ada untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan atau sebaliknya.

"Justeru, berkuat kuasa 08 Disember 2022, tindakan kunci tayar di bawah Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (Letak Kereta Bermeter) (Majlis Perbandaran Kota Bharu) 2000 akan ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang diberitahu kelak," kata kenyataan itu.

Hashim Hamzah dalam penghakimannya semalam berkata keputusan itu dibuat kerana tindakan kunci tayar bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ultra-vires dengan seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hanya menteri berkuasa untuk membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat undang-undang kunci tayar dan dalam kes ini mahkamah dapati tiada kebenaran diberikan," katanya dalam penghakiman yang berlangsung di Putrajaya.

Turut bersidang ialah hakim Abdul Karim Jalil dan Supang Lian.

Perayu dalam kes tersebut, Nursyafawati Kasim, diwakili peguam diketuai Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing.

Mahkamah bagaimanapun memutuskan bahawa Perintah 8 di bawah perintah yang sama masih sah dan MPKB-BRI masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan letak kereta.

Tindakan kunci tayar pula masih boleh dikenakan sekiranya kenderaan diparkir di kawasan larangan atau bukan di petak parkir yang disediakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen