malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Padang Serai bukan indikator nilai sokongan kepada gabungan PH-BN
Diterbitkan:  Dec 8, 2022 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM
ADS

Kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) Padang Serai semalam bukan indikator terbaik untuk menilai penolakan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata bahawa sekarang adalah masa yang terbaik untuk menilai semula kekuatan mereka dan memastikan sinergi di antara rakan parti di dalam kerajaan perpaduan ini dapat dimaksimumkan.

"Pada saya, kekalahan di Padang Serai bukanlah indikator terbaik untuk merumuskan penolakan rakyat terhadap gabungan PH dan BN kerana di DUN Tioman kerjasama PH-BN ini telah berjaya menzahirkan kemenangan.

"Jika dibandingkan dengan di DUN Tioman, pengumuman kerjasama di Padang Serai dibuat agak lewat dan ini mungkin menjadi faktor pengundi terkeliru dan tidak mendapat maklumat yang menyeluruh mengenai kerjasama PH-BN ini.

"Ditambah dengan gelombang yang ditiup oleh pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit yang menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik," katanya.

Semalam, calon PN, Azman Nasrudin, merampas kerusi Padang Serai yang sebelum ini dikuasai PH dengan 51,637 undi. Dia menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260.

Sementara itu, bagi pilihan raya DUN Tioman, calon BN - yang turut disokong PH - berjaya mempertahankan kerusi tersebut daripada jatuh ke tangan PN.

Calon BN, Mohd Johari Hussain, memperoleh 8,080 undi mengalahkan Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi.

Susulan itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata bahawa kemenangan calon mereka di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman semalam adalah bukti rakyat tidak meyakini "kerajaan campuran" yang ada sekarang dan menolak "penipuan" mereka.

Katanya, undi yang diberikan pemilih di kawasan parlimen tersebut menunjukkan petanda positif buat parti terbabit yang mendapat "sokongan padu".

Sementara itu, Shaiful berkata fokus dan tumpuan kini perlu diberikan kepada pilihan raya negeri Kedah yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

"Saya yakin dan percaya, melalui perangkaan strategi awal yang berkesan ditambah dengan usaha turun padang serta menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan kerjasama parti di dalam kerajaan perpaduan.

"Insya-Allah, angin perubahan mampu dilakukan di negeri Kedah ini pada PRN akan datang," katanya.

Lihat Komen