malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SEMAK FAKTA | Mesej 'kilang bihun babi' pembohongan sejak 14 tahun lalu
Diterbitkan:  Dec 8, 2022 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM
ADS

Mesej mengenai status halal suatu jenama bihun tular dalam kalangan orang ramai dengan membawa seruan agar produk tersebut - yang dikeluarkan "syarikat milik Cina" diboikot.

Bagaimanapun, semakan mendapati mesej berkenaan sebenarnya mula beredar sejak sekitar 14 tahun lalu dan sudah dinafikan oleh pelbagai pihak berkali-kali termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun, mesej-mesej berunsur perkauman sebegitu terus tersebar di platform media sosial, termasuk melalui WhatsApp.

Terbaru, mesej palsu mendakwa sebuah kilang di Pulau Pinang, Kilang Bihun Beras Indah - yang ditutup pada 2007 kerana tidak memenuhi piawaian kebersihan - telah dibuka semula menggunakan nama baharu.

Kilang Bihun Beras Indah didakwa beroperasi bersebelahan dengan ladang babi dan menggunakan premis serta kemudahan yang sama seperti ladang terbabit.

Mesej itu mendakwa kilang berkenaan dibuka semula menggunakan nama syarikat Kilang Bihun Bersatu Sdn Bhd, yang mempunyai pensijilan halal.

"Cina sudah melampaui batas!" kata mesej itu.

Mesej yang tular itu turut menyenaraikan pelbagai jenama produk milik bumiputera sebagai alternatif.

Semakan mendapati mesej itu sebenarnya mencapuradukkan laporan berita mengenai satu kilang - Kilang Bihun Beras Indah - dengan syarikat lain, yang merupakan anak syarikat firma tersenarai awam, KBB Resources Bhd (KBB Resources).

Keratan berita disunting

KBB Resources disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai Eka Noodles.

"Pihak kami ingin menjelaskan bahawa Kilang Bihun Bersatu Sdn Bhd dan Kilang Bihun Beras Indah adalah dua kilang yang berbeza pemiliknya.

"Kilang Bihun Bersatu Sdn Bhd merupakan anak syarikat di bawah KBB Resources dan merupakan pemegang sijil halal Malaysia yang sah," jelas Jakim dalam kenyataan pada 2016.

Mesej yang tular itu menggunakan gambar versi 2020 termasuk memaparkan gambar individu yang dipercayai pekerja memijak bihun dengan berkaki ayam seolah-olah berlaku di negara ini.

Semakan oleh agensi berita AFP menunjukkan foto itu pertama kali diterbitkan pada 2014 lagi oleh Yangcheng Evening News membabitkan laporan mengenai sebuah kilang di wilayah Guangdong di China.

Untuk makluman, seperti banyak penipuan yang tersebar dalam talian, sebahagian daripada mesej itu adalah benar. Misalnya memang terdapat sebuah kilang bihun yang terletak bersebelahan dengan ladang babi di Pulau Pinang.

Pada 2007, Harian Metro melaporkan sebuah kilang di Kampung Selamat, Tasek Gelugor beroperasi hanya kira-kira 100 meter dari sebuah kandang babi.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Islam negeri berkata isu tersebut berada di luar bidang kuasa mereka kerana kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal.

Laporan berita itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kilang bihun tersebut berkongsi premis atau kemudahan yang sama dengan kandang babi atau tidak, seperti yang didakwa dalam mesej tular itu.

Mesej palsu itu memang telah tular selama bertahun-tahun dalam pelbagai bentuk.

Dalam versi 2013, gambar keratan berita Harian Metro disunting menjadi kolaj foto yang memaparkan pelbagai jenama bihun dan babi bergolek dalam kandang.

Pada satu laman Facebook Kelab Anti-PKR, kolaj itu diberi kapsyen dengan mesej mengenai KBB Resouces.

Catatan serupa turut dibuat oleh laman Facebook Boikot Produk oleh Cina DAP.


MALAYSIAKINI adalah sebahagian daripada pakatan pemeriksa fakta, JomCheck, yang terdiri daripada pertubuhan media, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta sesuatu dakwaan dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian di 017-477 6659 (WhatsApp saja) atau melalui pautan ini.

Lihat Komen