malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nama kementerian pelancongan, seni dan budaya (MOTAC) kekal
Diterbitkan:  Dec 8, 2022 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM
ADS

Mesyuarat Kabinet semalam memutuskan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan dikekalkan, kata Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau dalam kenyataan berkata akan sentiasa mementingkan segala perkara di bawah bidang kuasa MOTAC, bukan sahaja tertumpu kepada pelancongan, tetapi juga berkaitan kesenian dan kebudayaan yang menjadi khazanah penting negara.

Tiong turut memberi jaminan bahawa bidang kesenian dan kebudayaan akan dimartabatkan serta dibela sebaiknya, dengan peranan budayawan dan seniman dalam menyumbang kepada pembinaan negara tidak akan dipinggirkan.

"Saya akan memastikan kumpulan penting ini akan mendapat tempat sewajarnya serta diiktiraf atas sumbangan bermakna kepada negara seperti memperkenalkan semula Anugerah Seni Negara yang telah dihentikan sejak sekian lama," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan kabinetnya minggu lepas mengumumkan Tiong sebagai Menteri Pelancongan, sekali gus menimbulkan tanda tanya orang ramai tentang portfolio seni dan budaya yang sebelum ini disekalikan dengan portfolio pelancongan di bawah satu kementerian.

Dalam pada itu Tiong berkata beliau akan terus mengamalkan dasar pintu terbuka dan bersedia mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak bagi memastikan industri pelancongan, seni dan budaya dapat berkembang.

Ini termasuklah pakar-pakar profesional, berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif dan berbakat besar dalam sektor kebudayaan seperti penari tarian tradisional, pensyarah dan sebagainya, katanya.

Menurut Tiong sumbangan dan peranan kumpulan berkenaan amat diperlukan bagi membawa industri pelancongan, seni dan budaya ke tahap yang lebih tinggi, lebih bersinar dan lebih gah di peringkat global.

"Dalam masa sama, saya memohon kepada semua pihak agar memberikan sokongan, ruang dan peluang kepada saya untuk menerajui MOTAC dan saya akan melakukan sehabis baik demi kegemilangan industri pelancongan, seni dan budaya negara kita," katanya.

Tiong berkata beliau bersama pengurusan tertinggi dan warga MOTAC akan sentiasa memastikan pelancongan, seni dan budaya negara dapat dipromosi dan dipopularkan di luar negara melalui pelbagai medium selari dengan perkembangan teknologi semasa, seterusnya dapat menarik minat pelancong asing ke Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen