malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Biar sejarah hakimi saya - Loke
Diterbitkan:  Dec 8, 2022 12:08 PM
Dikemaskini: 5:34 AM
ADS

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia akan memikul tanggungjawab menangani rasa tidak puas hati penyokong parti selepas mereka hanya diberikan empat daripada 28 kerusi dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini di sebalik DAP menyumbang paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum ke-15 yang lalu. 

Malah, parti itu juga berperanan penting dalam mendapatkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memohon maaf kepada premier Sarawak berhubung beberapa kenyataan pemimpin mereka yang dikatakan mengguris hati.

Menerusi siaran langsung di portal rasmi DAP, The Rocket malam tadi, Loke yang mempertahankan keputusannya berkata dia sedia dihakimi sejarah.

Dalam wawancara itu, Loke mengakui berada di bawah tekanan ketika dia berusaha sedaya upaya untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

"Cuba bayangkan tekanan yang saya berdepan pada 19 hingga 24 November lalu. Nampaknya macam tak ada jalan keluar sebab banyak perkara yang mustahil.

“Kita cuba tubuhkan kerajaan dan menjayakan Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri,” katanya.

Bagi meleraikan kebuntuan, Loke yang kini adalah menteri pengangkutan telah pergi ke Sarawak untuk memohon maaf kepada Abang Johari Openg.

“Saya harap semua orang faham masalah yang kami lalui. Saya tahu ramai penyokong bimbang kami tidak dapat menubuhkan kerajaan, dan PN pula yang akan diangkat. Kita tidak mahu lihat ini berlaku.

“Jadi, kita mesti berjaya dan mengambil semua pilihan yang ada, saya mesti bersedia untuk meminta maaf supaya nampak keikhlasan kita,” katanya.

Dia mengulangi bahawa DAP menyokong tanpa syarat Anwar sebagai perdana menteri dan parti itu tidak boleh menukar pendirian dan meminta lebih banyak jawatan menteri.

""Walaupun kita hanya diberi empat menteri, tetapi kita sebahagian daripada kerajaan persekutuan. Apa akan jadi jika kita tidak bekerjasama dan berusaha keras untuk membentuk kerajaan perpaduan?

"Ini jawapan saya. Saya tidak boleh cakap banyak, tetapi ini adalah penilaian saya. Sebagai setiausaha agung parti, saya memikul tanggungjawab itu. Biar sejarah menilai saya," katanya.

"Tidak guna saya bercakap banyak. Saya hanya kata ini adalah keputusan yang betul," tambahnya.

Dalam barisan kabinet yang diumumkan oleh Anwar Jumaat lalu, DAP memenangi 40 kerusi parlimen daripada 82 keseluruhan yang dimenangi oleh Pakatan Harapan, tetapi hanya diberikan empat jawatan menteri.

Ini mendorong Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengeluh bahawa parti itu kurang mendapat jawatan kabinet walaupun memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti politik lain.

Dalam usaha untuk menenangkan penyokong parti, Loke pada 3 Dis bercakap mengenai cabaran yang dihadapi dalam pembentukan kerajaan perpaduan.

PRU15 yang berakhir baru-baru ini menyaksikan Loke, mengambil alih kepimpinan parti daripada Lim Guan Eng pada Mac lalu.

Lihat Komen