malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tugas getir buat PH uruskan 'gelombang hijau' PN - Charles
Diterbitkan:  Dec 8, 2022 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM
ADS

Pakatan Harapan (PH) mesti bekerja keras untuk mengubah sentimen sebahagian rakyat negara ini berikutan kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya kerusi Parlimen Padang Serai semalam.

Justeru, menurut bekas ahli parlimen Klang, Charles Santiago, seluruh anggota kabinet perlu sehaluan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

“Kemenangan besar PN di Padang Serai tidak mengejutkan kerana kita telah melihat corak yang sama di kawasan (negeri) lingkaran Melayu di utara.

"Ia menandakan gelombang hijau yang persuasif, membimbangkan, dan menunjukkan PH ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan bagi mengalihkan sentimen akar umbi," katanya.

Kenyataan pemimpin DAP dibuat melalui ciapan di Twitter hari ini dan dia merujuk kepada pengaruh PAS dalam kemenangan besar PN.

Dalam pilihan raya itu, calon PN, Azman Nasrudin, merampas kerusi yang sebelum ini dikuasai PH dengan 51,637 undi, menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260.

Susulan kemenangan berkenaan, Azman - yang juga ADUN Lunas dan memenangi kerusi berkenaan dengan tiket PKR sebelum ini - berikrar untuk menjadi suara yang berkesan bagi pengundi di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Charles berkata salah satu cara untuk mengurangkan kebangkitan "Islam politik" dibawa PN ialah dengan menguruskan sebaik mungkin krisis kos sara hidup yang sedang dihadapi negara.

"Anwar telah pun memulakan inisiatif ini tetapi semua menteri kabinet juga perlu menjadikan agenda rakyat sebagai keutamaan," katanya.

Lihat Komen