malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN menang besar di Padang Serai, catat majoriti 16,260 undi
ADS

Gelombang sokongan terhadap PN nampaknya belum reda di Kedah selepas calon mereka Azman Nasrudin, 50, secara rasmi diumum sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen itu, malam ini.

Azman yang juga Adun Lunas memperoleh sejumlah 51,637 undi menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi, sekaligus merampas kerusi yang disandang PKR sejak 2008 itu.

Calon Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sofee Razak ditempat kedua tertinggi dengan 35,377 undi diikuti calon Barisan Nasional (BN) C Sivarraajh 2,983 undi.

Selain itu calon bebas Sreanandha Rao memperolehi 846 undi diikuti calon Pejuang Hamzah Abd Rahman 424 undi, dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim dengan 149 undi.

Sebelum ini Sivarraajh dan Mohd Bakhri mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan kepada Mohamad Sofee, namun nama mereka tetap dipaparkan pada kertas undi

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim.

Menurutnya peratusan keluar mengundi selepas semua 46 pusat pengundian ditutup 6 petang tadi adalah 68.95 peratus daripada 132,955 orang pengundi biasa dan 753 undi ditolak.

Turut kelihatan hadir di pusat penjumlahan ialah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Sementara itu, keputusan di Padang Serai menjadikan PN kini mempunyai 74 kerusi parlimen yang dimenangi mereka pada PRU ke-15 kali ini dan penguasaan mutlak parlimen di Kedah, kecuali di Sungai Petani yang dimenangi PH.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan salah seorang calon yang telah disahkan iaitu M Karupaiya, 69, yang meninggal dunia pada 16 Nov lalu.

Karupaiya yang mewakili PH merupakan penyandang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi pada PRU ke-14 menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong.

Lihat Komen