malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan terima RM15 juta: Anwar tuntut Muhyiddin minta maaf
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tempoh tiga hari kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwannya bahawa Anwar menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Anwar turut memberi tempoh tiga hari kepada Muhyiddin untuk menarik balik video TikTok berkenaan dakwaan itu, serta membuat aku janji bertulis untuk tidak lagi mengulanginya.

Perkara itu dinyatakan dalam surat tuntutan kepada Muhyiddin hari ini.

Peguam Anwar, Sankara Nair mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa surat itu dihantar dengan tangan hari ini.

Ia berkenaan kenyataan Muhyiddin yang dikatakan dibuat ketika ceramah Grand Finale PN di Padang Serai pada 5 Disember lalu.

Hari ini, Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Anwar hanya menerima bayaran simbolik RM1 sebulan.

Menurut surat tuntutan itu, Anwar menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan berniat jahat.

Anwar menuntut ganti rugi pampasan yang "substantif dan konsekuensial" dari Muhyiddin atas "kecederaan teruk yang dilakukan" ke atas reputasi Anwar.

Muhyiddin diberi tempoh tiga hari untuk melaksanakan tuntutan itu, bermula dari hari notis tuntutan diterima.

Jika Muhyiddin tidak berbuat demikian, Anwar berkata pasukan peguamnya akan memulakan tindakan undang-undang di mahkamah.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Muhyiddin berkenaan perkara ini.

Pada 2011, Adun Sungai Burung ketika itu Dr Mohd Khir Toyo mengemukakan soalan melalui badan perundangan untuk mendapatkan butiran mengenai kos mengekalkan kedudukan Anwar, sambil menyatakan bahawa gaji Anwar ialah "RM1 sebulan".

Susulan itu, kerajaan Selangor menjawab antara Jan dan Jun 2011, pejabat penasihat ekonomi itu telah membelanjakan RM258,162.

DUN juga diberitahu bahawa tiada satu pun perjalanan Anwar ke luar negara antara Nov 2009 semasa dia dilantik sehingga Julai 2011 melibatkan dana negeri.

Apabila Azmin Ali mengambil alih jawatan menteri besar pada 2014, Anwar terus berkhidmat sebagai penasihat ekonomi.

Dalam sidang DUN yang sama, Adun Seri Serdang Mohamad Satim Diman pernah bertanya apakah kesan yang dibawa oleh Anwar melalui peranannya.

Kerajaan negeri menjawab bahawa pandangan Anwar dimasukkan dalam reformasi pengurusan tanah berhubung hak pendudukan tanah buat sementara waktu.

“Melalui kaedah baharu ini, rakyat hanya perlu membayar yuran pemprosesan RM1,000 untuk terus menetap di atas tanah dan menerima hak milik, sedangkan pada pentadbiran sebelum ini, mereka akan membayar berpuluh ribu ringgit,” kata kerajaan negeri.

Lihat Komen