malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Anwar perlu mula bersikap seperti PM yang sebenar'
Diterbitkan:  Dec 7, 2022 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM
ADS

Bekas pegawai Muhyiddin Yassin berkata Anwar Ibrahim perlu henti bersikap sebagai ketua pembangkang, sebaliknya mesti kelihatan seperti perdana menteri yang "sebenar".

Marzuki Mohamad yang pernah menjadi setiausa sulit kanan Muhyiddin, menegaskan Anwar perlu cepat menyesuaikan diri dengan jawatan yang dipegangnya itu.

"Anwar telah berada dalam pembangkang selama 24 tahun. Jawatan terakhir dalam kerajaan ialah timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum dipecat pada bulan September 1998.

"Pembawaan anda sejak beberapa hari ini kelihatan masih seperti ketua pembangkang.

"Tak mengapa, tapi jangan lama-lama...Mulai minggu depan, anda mesti kelihatan seperti perdana menteri yang sebenar," katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Kenyataan itu selepas Anwar mendakwa ada "pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender, yang dikaitkan dengan PN.

Selain itu, dia juga membayangkan sebahagian dana yang digunakan PN dalam kempen pilihan raya lalu adalah dari syarikat perjudian.

Dia juga berkata akan meneliti semula projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion yang dikatakannya diluluskan tanpa melalui tender terbuka.

Marzuki berkata dia ingin menasihati Anwar agar menghentikan "witch hunting" dan menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat kontrak yang dianugerahkan kerajaan terdahulu.

"Jika perlu, bagi arahan kepada ketua setiausaha negara dan ketua pesuruhjaya SPRM agar kaji kontrak yang dianugerahkan pentadbiran terdahulu. Bagi masa dua minggu. JIka ada yang meragukan, biar SPRM siasat.

"Mula-mula (dakwaan) RM600 bilion, lepas tu puluhan bilion, kemudian tujuh bilion. Ada kenyataan pasal dana politik dari syarikat judi pula.

"Nanti orang kata apa perdana menteri ni? Macam caca-merba dan ada 'dendam peribadi'. Ini tak baik untuk imej anda sebagai perdana menteri," katanya lagi.

Katanya lagi, Anwar sebaiknya mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi untuk mendapatkan petunjuk terkini dari Kementerian Kewangan, Bank Negara dan juga Jabatan Perangkaan, terutama dalam menghadapi kemungkinan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan tahun depan.

Dia juga menggesa Anwar mempengerusikan mesyuarat mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) untuk mendepani isu kos sara hidup serta menjelaskan teras utama Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan.

Terdahulu, Muhyiddin menyangkal berlaku sebarang penyelewengan dengan berkata sebahagian besar dana RM600 bilion itu adalah tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan, antaranya pengeluaran KWSP dan moratorium pinjaman bank.

Anwar kemudian membangkitkan pengakuan Muhyiddin bahawa sebahagian besar dana yang diberikan sebagai bantuan wabak Covid-19 adalah datang dari wang rakyat sendiri.

Pada masa sama, dia tetap berkata ada kesalahan melibatkan dana lain ketika penularan wabak tersebut.

Lihat Komen