malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PN takkan terima walau satu sen pun duit judi - Muhyiddin
ADS

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan parti itu memperolehi dana daripada syarikat judi untuk menampung kos kempen PRU ke-15.

Katanya, kenyataan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu semalam merupakan tuduhan berat.

Bahkan Muhyiddin bersumpah tidak mengambil walau satu sen pun sumbangan daripada syarikat judi.

"Dia (Anwar) kata kita kempen pilihan raya ini pakai duit judi. Kot (mungkin) dia kot… Saya tak nak kata, tapi ada maklumat kata kot dia kot.

"Kami ini pemimpin, sini dah haram judi sana dah haram judi. Nak ambil duit judi nak urus pilihan raya, habis kami sengkek dah tak ada duit?

"Wallahi kami takkan lakukan perkara-perkara yang haram sebegitu. Takkan terima walau sesen pun sumbangan daripada mana-mana pihak gambling company hanya kerana kami nak duit, haram," katanya dalam ceramah grand finale Parlimen Padang Serai di Kulim, malam tadi.

Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar semalam yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar berkata dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian.

"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya.

Dia turut menegur pentadbiran PN yang diketuai Bersatu dan PAS kerana menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun dan langkah itu dibuat pada akhir 2020.

Kata Anwar, selaku menteri kewangan, dia telah memutuskan bilangan cabutan khas judi akan kembali dikurangkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

Muhyiddin menjelaskan pihaknya mempunyai "kawan" yang membantu sedikit sebanyak PN dan keadaan itu turut berlaku pada pihak parti lain.

"Tetapi kami pun ada kawan, tak ramai sikit-sikit dok tolong bantu. Hat dia pun dapat juga, hat sana pun dapat juga.

"Kalau kami dapat, Gerakan dapat, Bersatu dapat, PAS pun dapat, salahkah? Ikutkan undang-undang tak salah. Yang Anwar boleh buat tuduhan, ini tuduhan berat. Baru naik hari ini kabinet dah buat tuduhan," ujarnya.

Lihat Komen