malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar 'tegur' Syed Mokhtar, Bernas - Pesawah akan terima RM60j
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan gesaan yang pernah disuarakannya enam bulan lalu, iaitu agar Padiberas Nasional Bhd (Bernas) berkongsi keuntungan dengan pesawah miskin di negara ini.

Dalam sidang media hari ini, Anwar berkata dia telah "menegur" pemilik Bernas - hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary - berhubung monopoli import beras oleh Bernas, dan syarikat itu akan membuat pembayaran kepada pesawah.

"Kita tak boleh bebankan seorang (iaitu) Syed Mokhtar sehingga kita dapat teliti sama dan keuntungan dan pulangan dia berpatutan.

"(Tetapi) saya gesa untuk dia lakukan sesuatu dengan segera, dan dia akan peruntukkan RM10 juta kepada pesawah padi miskin, bulan ini juga.

"Mulai tahun depan, (peruntukan kepada pesawah miskin) RM50 juta dari Bernas," katanya.

Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham Bernas yang dibelinya daripada Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.

Anwar berkata dia memahami Syed Mokhtar mungkin masih ada baki pembayaran untuk dibuat berkaitan pembelian pegangan itu, pada masa sama menegaskan kerajaan tidak akan benarkan "pembolotan kekayaan" oleh ahli politik dan kalangan yang dekat dengan mereka dengan "menghisap darah pesawah padi yang miskin".

"Ini yang kita katakan tata kelola (governance), bukan slogan Melayu dan Islam (sahaja) tetapi pelaksanaan (dasar)," katanya lagi.

Berkenaan kekurangan bekalan telur, Anwar berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengumumkan langkah untuk menjamin bekalan mencukupi dengan harga lebih rendah, esok.

Katanya, ia dilakukan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap "kartel".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen