malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan digesa bawa masuk jururawat asing
Diterbitkan:  Dec 5, 2022 3:22 PM
Dikemaskini: 7:22 AM
ADS

Kekurangan jururawat pada tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini di hospital swasta dan awam menjejaskan penjagaan pesakit, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia.

Justeru, presidennya Dr Kuljit Singh menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk membawa masuk jururawat asing bagi menangani perkara itu.

“Kami menggesa kerajaan untuk memudahkan latihan lebih ramai jururawat dan menjadikan proses untuk dilatih dalam asas pasca kepakaran lancar, dengan insentif yang lebih baik untuk sekolah kejururawatan tempatan.

"Dalam pada itu, perlu ada usaha segera untuk membawa jururawat asing masuk ke Malaysia, tidak kira sama ada mereka terlatih khusus pasca asas atau tidak," kata Kuljit dalam satu kenyataan semalam.

Dia menambah bahawa industri kejururawatan menyaksikan ramai jururawat terlatih tempatan berhijrah ke negara yang menawarkan pakej menarik untuk jururawat bekerja di sana.

Kuljit berkata di hospital swasta, kekurangan jururawat menyebabkan kelewatan kemasukan pesakit dan memaksa mereka yang tidak sabar menunggu rawatan perubatan ke kemudahan awam, walaupun mereka mampu membayar penjagaan swasta.

Ini, katanya, membebankan lagi sistem penjagaan kesihatan awam yang juga berdepan kekurangan jururawat.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh

Mei lalu, kerajaan Johor berkata negeri itu menghadapi kekurangan sekurang-kurangnya 15,000 jururawat. Negeri itu kekurangan jururawat kerana ramai jururawat bekerja di Singapura di mana mereka dibayar dengan gaji setaraf gaji doktor pakar di Malaysia.

Pada Februari lalu, menteri kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin mengakui kekurangan itu dan mengarahkan kementerian menjalankan kajian mengenai perkara itu.

Sementara itu, Kuljit turut menggesa kerajaan mengambil langkah menggunakan hospital swasta untuk menyaring penyakit tidak berjangkit, untuk mengurangkan beban di hospital awam dan mengurangkan masa menunggu.

“Kekuatan hospital swasta dalam membantu kerajaan menguruskan pesakit yang menunggu rawatan melebihi masa yang munasabah melalui perkongsian awam-swasta yang harus diperkukuh dan diteruskan kerana ia berjaya dijalankan semasa kemuncak pandemik.

“Dalam bajet kerajaan sebelum ini untuk 2023 aspek ini tidak disebut,” katanya.

Bagi memberi laluan kepada pesakit Covid semasa kemuncak pandemik, Kementerian Kesihatan memindahkan pesakit bukan Covid ke hospital swasta.

Kuljit menambah, hospital swasta bersedia untuk bekerjasama dengan kementerian untuk memperkukuh penjagaan kesihatan awam pada kadar yang berpatutan.

Sebagai contoh, katanya, IHH Healthcare Malaysia baru-baru ini menawarkan 500 rawatan kanser percuma kepada pesakit terpilih daripada sektor awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen