Bekas naib presiden PKR, Tian Chua berkata langkah untuk mengenepikan pemimpin 'kluster mahkamah' daripada menganggotai kabinet tidak menjamin pentadbiran yang bersih ketika perhatian kini tertumpu kepada kabinet baru perdana menteri, Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, bekas ahli parlimen Batu itu berkata, adalah penting bagi Anwar untuk bekerjasama dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan kerajaan yang kukuh mampu melaksanakan pembaharuan yang dirancang.
“Kerajaan sebelum ini menghalang kluster mahkamah daripada kabinet, namun ia meneruskan amalan rundingan terus, pilih kasih dalam perolehan, dan lain-lain.
“Tiada reformasi yang berkesan tetapi ketegangan berlarutan antara parti dalam gabungan,” kata Tian Chua dalam satu kenyataan.
"Mengeluarkan pemimpin yang mempunyai kes mahkamah daripada kerajaan, tidak secara automatik mewujudkan kerajaan yang lebih bersih.
“Jika kita mahu serius mengenai rasuah, kita memerlukan pembaharuan yang tulen untuk merombak secara sistematik institusi pemerintahan kita,” katanya.
Tian Chua berkata, kerjasama antara Anwar dan Zahid selaku pengerusi BN adalah penting untuk "gabungan besar" yang kukuh mampu melaksanakan reformasi sebenar ke arah pentadbiran yang telus dan cekap.
“Untuk mentadbir dengan berkesan, pemimpin PH dan BN perlu membina kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain.
"Tidak dinafikan masih terdapat banyak keraguan dalam BN, terutamanya Umno. Zahid telah menunjukkan keupayaannya untuk menyatukan BN ke dalam pendirian untuk bekerjasama dengan PH," katanya.

