malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu iktiraf UEC: Tumpu ekonomi dulu, kata KLSCAH
Diterbitkan:  Nov 28, 2022 12:09 PM
Dikemaskini: 4:16 AM
ADS

Kerajaan baru wajar menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi terlebih dahulu, kata Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di saat timbul semula isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

KLSCAH berkata walaupun perkara itu terkandung dalam manifesto PH, keutamaan perlu diberikan kepada isu ekonomi dan isu UEC tidak boleh dibiar digembar-gemburkan "mereka yang berfikiran sempit" sehingga menimbulkan kontroversi.

"Biarpun pembentukan kerajaan baru telah diputuskan, tetapi perkembangan sosial dan ekonomi masih dalam keadaan rumit dan sukar serta menghadapi pelbagai cabaran.

"Kita perlu sedar bahawa sentimen perkauman dan keagamaan yang ekstrem akan menggugat keamanan negara dan keharmonian sosial jika tidak ditangani dengan baik," kata badan itu dalam kenyataan hari ini.

Manifesto PH menyatakan gabungan itu akan meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Oleh itu, menurut manifesto tersebut, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.

KSLSCAH berkata perjuangan untuk "dasar kepelbagaian dan inklusif" akan mengambil jangka masa yang panjang dan berterusan.

Badan itu turut memetik ucapan presidennya Ngan Teng Ye dalam acara ulang tahunnya semalam, yang berharap semua pihak saling membantu untuk memastikan keterbukaan dan saling belajar tentang konsep kepelbagaian.

"Dalam era politik kepelbagaian diamalkan oleh kerajaan, beberapa matlamat perjuangan yang tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat seperti pengiktirafan UEC boleh kita serah pada masa untuk tentukan.

"Ini bagi mengelakkan segelintir pihak yang berfikiran sempit cuba menimbulkan kontroversi dan merebut kuasa," kata badan itu lagi.

Lihat Komen