Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) mencadangkan jawatan menteri dan timbalan menteri pertahanan diberikan kepada bekas tentera yang bertanding dan menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Presidennya, Ismail Abidin berkata, perkara itu adalah bagi memudahkan mereka memperjuangkan dan membela nasib veteran tentera, terutamanya yang tidak mempunyai pencen.
“Untuk jawatan menteri, timbalan menteri (pertahanan), kerajaan perlu lantik dalam kalangan mereka yang memahami kedudukan veteran, kalau ada dalam kalangan veteran memenangi (kerusi parlimen) PRU15 mereka itu wajar dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri pertahanan.
“Selain itu, kami juga mencadangkan kerajaan lantik seorang dalam kalangan veteran tidak berpencen sebagai ahli dewan rakyat (senator) supaya dapat membawa suara dan masalah dihadapi veteran kepada perdana menteri,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Salah seorang veteran tentera yang menjadi calon PAS dan menang dengan majoriti 23,107 undi dalam PRU ke-15 ialah Mejar Jeneral (Bersara) Khlir Mohd Nor di kerusi parlimen Ketereh, Kelantan.
Dia yang menjadi calon buat kali pertama memperoleh 40,542 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Marzuani Ardila Ariffin (17,435 undi) diikuti calon Pakatan Harapan (PH), Rahimi L Muhamud (4,662 undi) dan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Haneef Ibrahim (223 undi).
Terdahulu, Ismail mempengerusikan mesyuarat persatuan itu di sebuah hotel di Kuantan, Pahang yang dihadiri kira-kira 100 ahli persatuan berkenaan.
Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam itu membuat ketetapan menyokong penuh pelantikan Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.
Semak kadar pencen
Dalam perkembangan lain, Ismail turut meminta kerajaan baru dipimpin Anwar menyemak semula kadar pencen dan elaun bulanan yang diberikan kepada veteran.
“Sekarang ini kebanyakan veteran hidup di bawah (kategori) B40, jadi kita minta elaun sara hidup dinaikkan daripada RM300 sebelum ini kepada RM500 bagi yang menerima elaun bulanan.
“Begitu juga (veteran) yang tidak berpencen, kita minta supaya dibayar elaun bulanan kepada semua veteran yang tidak mendapat pencen.
“Kepada veteran yang berpencen pula, selaraskan kadar pencen di mana kita dapati kebanyakan yang berpencen dahulu, pencennya terlalu rendah, ada yang tak sampai RM1,000 sebulan,” katanya lagi.
Selain itu, Ismail turut meminta kerajaan mempertimbangkan pembinaan hospital tentera di negeri utara tanah air.
“Kita dah ada hospital tentera, hospital Terendak, Melaka; Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur dan kalau boleh buat satu (hospital) di utara, sama ada di Alor Setar atau Sungai Petani, Kedah.
“Ini kerana ramai ahli kita yang menetap di utara tanah air dan sukar untuk mereka mendapatkan rawatan jika ke hospital biasa, kadang-kadang terpaksa menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

