malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
TI-M seru Anwar tunai semua janji manifesto
ADS

Ahli Parlimen daripada semua parti politik perlu akur dengan kehendak rakyat dan meninggalkan amalan politik berpuak-puak untuk bersama-sama melakukan pembaharuan dan mentadbir negara, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan.

Justeru, beliau berkata TI-M menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan menunaikan semua janji manifesto tanpa memberi sebarang alasan, penangguhan atau membuat pusingan U.

“Manifesto perlu ditunaikan terutamanya yang tertangguh sebelum ini berikutan penyingkiran Pakatan Harapan daripada kerajaan selepas ‘Langkah Sheraton’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, Muhammad berkata pembaharuan terutama berkaitan antirasuah dan tadbir urus mesti dilaksanakan tanpa berlengah termasuk Akta Politik Wang, pengasingan kuasa Jabatan Peguam Negara dan pendakwa raya serta pengisytiharan aset bagi semua wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata pelantikan ketua agensi kerajaan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan

Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah suruhanjaya di bawah Perlembagaan juga harus dilaksanakan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata kerajaan baharu di bawah kepimpinan Anwar penting untuk membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dan membangun secara mampan.

“Kami berharap kerajaan akan terus terlibat dengan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) bagi melindungi dan menempatkan semula pelarian.

“Kami perlukan penglibatan anda dalam UNHCR dan negara penempatan semula untuk meningkatkan kuota penempatan semula memandangkan tiada tanda-tanda kami dapat kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Zafar berkata MERHROM gembira dapat bekerjasama dengan pihak pengurusan pelarian di Malaysia dan berharap kerajaan baharu akan meneruskan usaha dalam menyediakan pendidikan kepada pelarian selain hak asasi yang lain.

- Bernama

Lihat Komen