malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khutbah Jumaat ungkap pentingnya kasih sayang, toleransi kaum
Diterbitkan:  Nov 25, 2022 2:39 PM
Dikemaskini: 6:57 AM
ADS

Khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengetengahkan pentingnya perpaduan dan toleransi kaum dalam sesebuah negara.

Teks khutbah bertajuk Perpaduan Ummah Tunjang Kemakmuran Negara yang dimuat naik di laman web Jawi itu juga mengungkapkan bagaimana Rasulullah SAW mengajarkan bahawa perpaduan merupakan asas kepada kejayaan masyarakat dan negara, seperti dipaparkan dalam usaha baginda menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin.

"Baginda SAW juga telah berjaya mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kabilah dan agama menerusi pengamalan nilai toleransi, sikap saling menghormati, bekerjasama dan bantu-membantu dalam pembangunan negara Madinah," kata mimbar.

Mimbar turut mengingatkan bahawa rakyat wajar menyokong pemerintahan yang sah dan menerima keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 dengan hati terbuka.

"Pemerintahan yang sah wajar disokong oleh seluruh rakyat. Sebagai rakyat, kita mesti menumpahkan ketaatan dan kesetiaan kepada ulil amri iaitu mereka yang telah mendapat mandat untuk melaksanakan pemerintahan selagi tidak bertentangan dengan aturan syariat," kata mimbar.

Mimbar juga menyeru menghentikan tindakan provokasi yang boleh mengancam keharmonian dalam masyarakat.

Kata mimbar, sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, seringkali berlaku perbezaan pendapat dan pandangan.

"Namun kita harus sedar bahawa kepelbagaian pemikiran manusia tidak seharusnya dibiarkan menjadi titik pergolakan yang berpanjangan.

"Justeru, hentikanlah sebarang tindakan provokasi yang boleh mengancam keharmonian masyarakat di negara ini. Rapatkan kembali ukhuwah Islamiah dan hubungan kita sesama warganegara," katanya.

"Ayuh kita mengeratkan kembali tautan antara anggota masyarakat. Jalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit.

"Hindarkan segala perkara yang boleh memudaratkan keharmonian seperti sikap prejudis, perkauman dan saling menghina lebih-lebih lagi melalui hantaran dan komentar di media-media sosial," kata mimbar lagi.

Teks penuh khutbah Jumaat yang disediakan Jawi itu boleh dibaca dari pautan ini.

Sementara itu, khutbah Jumaat di Kedah, negeri yang kini dipimpin parti komponen PN, PAS, turut mengetengahkan tema keamanan dan kasih sayang.

Teks khutbah bertajuk Suburkan Kasih Sayang yang dimuat naik Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah di pautan ini antara lin mengingatkan bahawa Rasulullah SAW bukanlah seorang pembenci, pencaci, pendendam, pemarah dan keras hati.

Sebaliknya Rasulullah SAW seorang yang lemah lembut, mudah, akrab dan mengutamakan kasih sayang pada umatnya.

"Kita perlu menyuburkan nilai kasih sayang dengan cara menjadikan sirah/ sejarah nabi sebagai motivasi diri. Tugas kita adalah menyebarkan kasih sayang kepada sesiapa sahaja.

"Apatah lagi Islam itu agama rahmat, mengajar manusia kebaikan, perdamaian, saling mencintai dan menyayangi sesama manusia," kata mimbar.

Sidang Jumaat juga diingatkan bahawa tanpa kasih sayang manusia akan menjadi pentingkan diri, egois dan tidak fikir kepentingan orang lain.

"Demikianlah hakikatnya kasih sayang, ia membuatkan manusia terikat antara satu sama lain yang tidak mungkin dipisahkan. Sekiranya sikap membenci menjadi budaya tradisi ia akan membuatkan manusia tidak hiraukan tentang krisis dan masalah sesamanya.

"Kesilapan kita hari ini ialah membiarkan rasa membenci terus subur dan dalam masa yang sama tidak pulak mengusahakan untuk sayang menyayangi.

"Justeru, marilah sama-sama kita menyuburkan kasih sayang dalam diri kita," katanya.

Lihat Komen