malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan perpaduan kini ada majoriti dua per tiga, kata Anwar
ADS

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi pakatan politik terbaru yang menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar penyertaan secara rasmi GRS itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor kepadanya.

"Ini bermakna kekuatan induk kita (kerajaan) seperti yang diumumkan semalam termasuklah GPS (Gabungan Parti Sarawak), sekarang GRS... yang menunjukkan bahawa kita sudah mencecah kekuatan hampir dua per tiga ahli parlimen yang akan memperkukuh kestabilan politik negara," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ahli parlimen Tambun itu juga menjelaskan dengan keadaan sebegitu, kerajaan perpaduan boleh menumpukan usaha mereka untuk mengangkat martabat dan mengukuhkan ekonomi negara.

GRS merupakan gabungan pelbagai parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Kerajaan perpaduan kini dianggotai PH dan sekutunya Muda menguasai 82 kerusi Dewan Rakyat, diikuti BN dengan 30 kerusi dan GPS dengan 23 kerusi.

Anwar juga berkata sebuah lagi parti dari Sabah yang tidak menganggotai GRS, Warisan, serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan ahli parlimen bebas turut memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan sekarang..

Semalam, Anwar berkata beliau membiarkan pintu terbuka kepada PN, yang mempunyai 73 kerusi parlimen dan GRS, yang menguasai enam kerusi.

Lihat Komen