malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
HARI 6 | Perdana Menteri China Li Keqiang ucap tahniah kepada Anwar Ibrahim
ADS

HARI 6 | Ini hari pertama Anwar Ibrahim akan mula memikul tanggungjawab sebagai perdana menteri yang baru.

Malaysiakini terus membawakan berita terkini secara langsung.


Perdana Menteri China Li Keqiang ucap tahniah

10.15 malam – Perdana Menteri China Li Keqiang mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pelantikannya baru-baru ini.

Menurut catatan Facebook oleh kedutaan China di Malaysia, Li menyatakan hubungan dua hala yang mesra antara kedua-dua negara yang telah mengekalkan momentum besar untuk pembangunan.

Li juga berkata beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Anwar dalam pembangunan lanjut perkongsian strategik komprehensif antara China dan Malaysia untuk memberi manfaat yang lebih baik kepada kedua-dua negara dan rakyat mereka.


Kunjungan hormat terhadap PM

7.40pm: Pemimpin tertinggi parti komponen PH mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri yang baru dilantik Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya petang ini.

Mereka ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Upko Madius Tangau.

Loke menyiarkan gambar kunjungan itu di laman Facebooknya.

Dalam gambar berkenaan, mereka dilihat berbual mesra.


MB Negeri Sembilan: Tok Mat sesuai untuk TPM

6.45 petang: Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mencadangkan timbalan pengerusi BN Mohamad Hasan dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan.

"Secara peribadi, dia (Mohamad) berasal dari Negeri Sembilan, jadi saya suka dia sebagai TPM. Dia seorang ahli politik dan pemimpin yang berpengalaman, yang boleh menepati rang undang-undang," Utusan Malaysia memetik Aminuddin, yang juga pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan sebagai memberitahu wartawan hari ini.

Mohamad Hasan

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata akan ada dua timbalan menteri dalam kabinet kerajaan perpaduannya, dan jawatan itu masing-masing akan diisi oleh wakil daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Rembau, telah dispekulasi sebagai salah seorang calon yang berkemungkinan untuk mengisi jawatan itu.


6.40 petang – Ketua Umno Bahagian Gombak Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai ketua Umno Selangor yang baharu, menggantikan Noh Omar.

Megat Zulkarnain Omardin

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengumumkan perkara itu di Twitter-nya hari ini.

Noh berundur daripada jawatannya sehari selepas PRU15, berikutan prestasi buruk BN pada pilihan raya di mana mereka hanya memenangi 30 kerusi parlimen dan hilang kawalan di Perlis, Perak dan Pahang.


Jawatan TPM : BN tiada calon

6.36 petang: BN tidak mempunyai calon untuk menyandang jawatan timbalan perdana menteri, kata naib pengerusinya Joseph Kurup.

“Belum ... saya minta maaf saya tidak mahu membuat spekulasi,” Kurup, yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), dipetik memberitahu Berita Harian menerusi mesej teks.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan ada dua timbalan perdana menteri dalam kabinetnya di bawah kerajaan perpaduan, dan jawatan itu akan diisi oleh wakil daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

GPS juga akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang diketuai oleh presiden PKR.


6.25 petang – Setiausaha politik bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad menafikan itu adalah suaranya dalam rakaman audio tular yang mengandungi perbualan antara dua lelaki bercakap mengenai “membunuh” kredibiliti Najib Abdul Razak.

Fazmi juga telah membuat laporan polis berhubung perkara ini.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan Sinar Harian hari ini, beliau meluahkan rasa terkejut dan kecewa selepas audio tersebut tular di media sosial.

Beliau berkata "rakaman audio palsu", yang disifatkannya sebagai berniat jahat, adalah muslihat politik yang bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

Dua lelaki yang bercakap dalam rakaman itu sebelum ini didakwa Fazmi dan bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif.


Mufti Perlis minta DAP mohon maaf

5:21 petang: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin meminta DAP memohon maaf kepada umat Islam dan masyarakat Melayu, bagi menenangkan perasaan mereka.

“Ini diharapkan dapat meredakan persepsi masyarakat majoriti (terhadap DAP) di negara ini dan memulakan resolusi yang lebih baik dengan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat Melayu negara ini.

Mohd Asri Zainul Abidin

“Jika DAP enggan, mereka akan dilihat sebagai DAP yang sama yang diragui dan ditolak oleh orang Islam sebelum ini,” tulis Asri di Facebooknya.

Gesaannya dibuat selepas DAP memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak baru-baru ini.


Najib mainkan semula konspirasi lama

5.15 petang: Pasukan media bekas perdana menteri Najib Razak sedang menghidupkan semula konspirasi dari awal tahun ini, melibatkan pemimpin PAS, Umno dan Bersatu.

Dakwaan konspirasi itu, yang dinamakan 'Pendedahan PAS', melibatkan dokumen yang kononnya memperincikan mesyuarat untuk membincangkan rancangan untuk meletakkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di penjara.

Pasukan media Najib, yang mengendalikan siaran media sosial untuknya semasa dia dalam penjara, mendakwa mereka yang dinamakan dalam dokumen itu tidak menafikannya.

Bagaimanapun, pemimpin Umno Hishammuddin Hussein mengulas siaran Facebook itu mengatakan beliau telah mengeluarkan penafian pada April dan ada meninggalkan pautan.

Pada masa itu, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menggelar dokumen itu sebagai sampah dan mengatakan ia salah mengeja namanya.


Protes 'Anti-Zahid' tidak berlangsung

5.00 petang - Perhimpunan yang didakwa dirancang oleh ahli Umno untuk bantah presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang dijadual pada 2 petang hari ini tidak berlangsung setakat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Delhan Yahya berkata 260 anggota polis telah dikerahkan ke ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, tetapi tiada perhimpunan seperti itu berlangsung, lapor Free Malaysia Today.

Polis dikerahkan selepas poster yang mengiklankan "Perhimpunan Selamatkan Umno" tersebar di media sosial.

Poster itu diedarkan dengan tanda pagar #UndurZahid dan #DemiMalaysia.


PN beri bayangan buat CSA dengan kerajaan

4.45 petang: Dalam kenyataan akhbar ketiga hari ini, PN mengulangi bahawa ia tidak berminat untuk menyertai pentadbiran Anwar.

Bagaimanapun, pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata ia bersedia untuk melihat jalan kerjasama lain.

Kenyataan itu memberi bayangan PN kemungkinan mengadakan perjanjian keyakinan dan perbekalan CSA.

"Demi untuk kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama lain dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang," katanya.


Ahmad Maslan: Saya tidak kata DAP tidak rasis

4.17 petang: Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan petikan kenyataan yang didakwa dikeluarkannya.

“Jika ada sesiapa ingin kepastian tentang sesuatu kenyataan dibuat oleh saya atau tidak, sila lihat twitter ini atau FB saya atau Instagram.

"Saya tidak ada membuat sebarang kenyataan lain selain itu. Terima kasih," katanya di Twitter.

Dia juga memberitahu wartawan petikan yang dikaitkan dengannya dalam imej tular adalah palsu.

Petikan itu menyatakan orang Melayu tidak perlu takut kepada DAP dan parti itu bukan perkauman atau anti-Islam.

Imej itu turut dikongsi di media sosial oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.


Ahli NGO Melayu-Islam berhimpun sokong Zahid

3.50 petang: Kira-kira 300 ahli gabungan NGO Melayu-Islam hari ini berhimpun bagi menyuarakan sokongan mereka kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Ini berikutan gesaan beberapa pemimpin BN supaya Zahid berundur sebagai pengerusi gabungan itu, selepas tewas pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut salah seorang yang hadir, Shahbudin Embun, Zahid secara bersendirian menjaga imej Umno tanpa bantuan sekutunya, ketika parti itu berdepan pelbagai kritikan, walaupun dia tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

"Ramai yang mendesak Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, dan lansung tidak berhati perut dengan membiarkan bekas Perdana Menteri dan bos mereka yang banyak berjasa bakal meringkuk berpuluh tahun di penjara.

“Ketika menang, sama-sama gembira, ketika kalah semua dengan mudah menunding jari kepada Presiden,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.


Taliban ucap tahniah kepada Anwar

2.45 petang: Pentadbiran Taliban di Afghanistan turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.

"Kementerian Luar Emiriah Islam Afghanistan (IEA-Mofa) mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai perdana menteri Malaysia dan mendoakan kejayaan sepanjang pentadbirannya," kata jurucakap kementerian luar negara itu, Abdul Qahar Balkhi di Twitter.

Abdul Qahar berkata Afghanistan dan Malaysia adalah negara orang Islam bersaudara dan memiliki hubungan yang baik sejak 1957.


PN akan main peranan semak dan imbang - Muhyiddin

1.00pm: Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai perdana menteri ke-10.

Muhyiddin berkata PN kini akan memainkan peranan semak dan imbang di parlimen, sekali gus memberi gambaran gabungan itu tidak akan menerima tawaran untuk menyertai pentadbiran Anwar.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin meminta sekutu dan penyokong mereka teruskan perjuangan dalam PN.

Hamzah juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan berkata keputusan pilihan raya menunjukkan gabungan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia, terutamanya pengundi muda.

PN memenangi 73 kerusi, yang kedua terbanyak selepas PH yang memenangi 82 kerusi.

PN juga hanya tewas di satu kerusi parlimen di Perlis, selain menyapu bersih Kedah, Terengganu dan Kelantan, dan telah membentuk kerajaan negeri di negeri berkenaan.


Kekuatan kerajaan perpaduan kini cecah dua per tiga majoriti - Anwar

12.35pm - Dengan penyertaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kerajaan perpaduan, kekuatan kerajaan perpaduan kini mencecah dua per per tiga, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar penyertaan secara rasmi GRS itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor kepadanya.

"Ini bermakna kekuatan induk kita (kerajaan) seperti yang diumumkan semalam termasuklah GPS (Gabungan Parti Sarawak), sekarang GRS... yang menunjukkan bahawa kita sudah mencecah kekuatan dua per tiga ahli parlimen yang akan memperkukuih kestabilan politik negara," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.


PM akan buat mesyuarat tergempar isu kos sara hidup

12.30 tengah hari: Dalam sidang media pertama selepas masuk pejabat sebagai perdana menteri, Anwar Ibrahim berkata keutamaannya adalah untuk menangani kenaikan harga dan kos sara hidup.

"Saya akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan atau agensi berkenaan dalam masa terdekat. Kalau mereka tidak berkeberatan, saya mohon mereka adakan pertemuan hujung minggu ini atau selewat-lewatnya Isnin.

"Saya faham Isnin itu hari cuti awam, tetapi kalau mereka agak berkeberatan (juga) maka saya boleh tangguhkan," katanya.

Anwar berkata dia percaya pegawai kerajaan akan melayan permintaannya kerana mereka memahami perkara yang mendesak.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan mendedahkan indeks harga pengguna bagi tahun lalu menunjukkan peningkatan umum sebanyak 4 peratus berbanding Oktober tahun lalu.

Kadar ini masih melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2022 (2 peratus), kata jabatan itu.

Menurut jabatan itu lagi, inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 7.1 peratus, lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada September.


Penuhi janji antirasuah dalam manifesto, kata TI-M

12 tengah hari: Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan baru untuk memenuhi janji dalam manifestonya.

TI-M berkata, janji itu perlu dipenuhi "tanpa alasan, penangguhan dan pusingan-U", terutama untuk hal-hal yang tertangguh akibat kejatuhan pentadbiran PH pada Februari 2020.

Badan itu turut menggesa pelaksanaan reformasi antirasuah utama "tanpa penangguhan atau pengurangan".

Antara langkah tersebut adalah:

  • Mewartakan akta pendanaan politik

  • Memisahkan kuasa Pejabat Peguam Negara dengan pendakwa raya

  • Pengisytiharan harta untuk semua wakil rakyat dan pegawai tinggi kerajaan

  • Pelantikan ketua agensi dibuat oleh jawatankuasa pilihan khas parlimen

"Kami mengalu-alukan episod baru dalam politik Malaysia ini, namun penjawat awam dan rakyat akan terus memerhati pencapaian kerajaan perpaduan dalam minggu dan bulan mendatang," kata badan itu.

Sementara senarai reformasi itu termasuk dalam manifesto PH, tidak jelas sebanyak mana ia akan dilaksanakan memandangkan kerajaan juga terdiri daripada BN dan GPS.


'Selamat maju jaya' - Dr M ucap tahniah kepada Anwar

11.15 pagi: Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai perdana menteri yang baru.

Ucapan itu menerusi satu ciapan ringkas hari ini.

"Saya ucap tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang kesepuluh.

"Selamat maju jaya," katanya.

Anwar menyertai politik pada 1983 atas undangan Mahathir. Dengan sokongan Mahathir, Anwar mendaki hirarki Umno dengan pantas sehinggalah dia menjadi timbalan perdana menteri.

Namun, hubungan kedua-duanya berubah selepas Mahathir memecat Anwar daripada kerajaan dan parti, sebelum dijatuhkan hukuman penjara.

Sejak itu, Mahathir sering dilihat sebagai penghalang Anwar untuk menjadi perdana menteri - termasuk ketika kedua-duanya bekerjasama dalam PH.


10.30 pagi: PAS mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai perdana menteri dan menyuarakan keyakinan pengerusi PH itu akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut berkata Perikatan Nasional akan membincangkan undangan Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Selain itu, katanya lagi, mereka akan turut mempertimbang pandangan dan kesediaan para pengundi gabungan itu sebelum membuat keputusan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini menegaskan PN tidak akan bekerjasama dengan PH.

Namun semalam, setiausaha agungnya Hamzah Zainudin berkata gabungan itu akan mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan "melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan".


Anwar mulakan tugas

10.15 pagi: Menurut Radio Bernama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim disambut dengan acara simbolik mengimbas kad perakam waktu sebaik tiba di Perdana Putra.

Anwar yang berbaju Melayu antara lain diiringi Ketua Setiauasaha Negara Mohd Zuki Ali dan Peguam Negara Idrus Harun.


Anwar tiba di Pejabat Perdana Menteri

9.53 pagi: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan iringan polis tiba di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Dia sempat melambaikan tangan kepada sejumlah ramai pengamal media yang menunggu di pintu pagar utama.


Ada orang Sungai Long tak tahu Anwar tinggal di situ

9 pagi: Sejumlah penduduk di Sungai Long - kawasan kejiranan di utara Kajang, Selangor - hanya tahu Anwar Ibrahim tinggal di situ semalam.

Mereka dapat tahun tentang perkara itu selepas berlaku kesesakan semalam ekoran kehadiran penyokong Anwar.

Mereka cuba masuk ke Sungai Long Golf and Country Club untuk mengikuti sidang media pertama Anwar sebagai perdana menteri.

Berdasarkan komen di Kumpulan Facebook Bandar Mahkota Cheras dan Sungai Long, kebanyakannya berkata mereka langsung tidak tahu Anwar dan keluarganya tinggal di situ.

Seorang pengguna menulis: "Sungai Long ada fengshui yang baik. Tanah bertuah ini 'lahirkan' seorang perdana menteri".

Beberapa pengguna lagi berharap Anwar akan menyelesaikan masalah kesesakan jalan dan jalan berlubang di sekitar kawasan itu.


PM India, Australia ucap tahniah pada Anwar

8.30 pagi: Sepanjang malam tadi, pemimpin-pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Antaranya Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J Blinken dalam ucapannya pula berkata dia teruja untuk hubungan yang lebih erat dengan Malaysia, berdasarkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang yang dikongsi bersama.

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan Malaysia ke arah wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, berhubung, makmur, selamat dan berdaya tahan," katanya.

Pemimpin Buddha, Dalai Lama berkata dia juga telah mengirimkan surat ucapan tahniah kepada Anwar.

"Ini adalah era yang sangat mencabar. Harapan saya adalah agar Malaysia terus makmur dan memberi sumbangan signifikan terhadap kestabilan dan keamanan di dunia yang kian saling berhubung.

"Saya doakan anda berjaya mendepani cabaran yang menunggu di depan dalam memenuhi harapan dan aspirasi rakyat Malaysia," kata Dalai Lama.

Pelawak Amerika Syarikat yang berasal dari Johor, Ronny Chieng pula berkongsi berita itu dengan emoji di Twitter.

Lihat Komen