malaysiakini logo
story-image
ADS

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menyertai kerajaan perpaduan yang akan dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengikut titah Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata GPS mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Baginda menasihati untuk membentuk kerajaan perpaduan demi atasi kemelut politik. GPS akur dengan titah baginda mengikut kuasa yang ada pada baginda di bawah Perlembagaan Malaysia.

“Kita mesti ingat, kita (mengamalkan) Raja Berperlembagaan, Rukun Negara, kesetiaan kepada raja dan negara. Meskipun kita tak ada raja di Sarawak ,” katanya kepada pemberita hari ini.

Untuk rekod, GPS berjaya memperoleh 23 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang baru berakhir Sabtu lalu.

Abang Johari yang juga premier Sarawak berkata dia menerima permohonan maaf DAP, yang sebelum ini disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan pengerusinya Lim Guan Eng, dengan hati terbuka.

“Yang penting ialah dah minta maaf. Mereka mengakui kesilapan mereka. Apa yang disebut ialah buka lembaran baru. Tapi pada masa sama, mereka mesti hormat parti komponen kita SUPP.

“(Dengan permohonan maaf) ia bermakna kami betul selama ini. Selama ini kita betul dan politik kita adalah politik bersih. Politik mereka bukan 'bersih'," katanya.

Ditanya sama ada GPS akan bekerjasama dengan DAP, Abang Johari berkata dia akan menyerahkan kepada Anwar kerana ia bukan budi bicaranya.

“Kita akan lihat, anda mesti ingat, kita adalah blok terbesar dengan 23 ahli parlimen.

"Anda bandingkan dengan parti lain, kami adalah blok yang sangat besar," katanya ketika ditanya sama ada GPS meminta jawatan timbalan perdana menteri dalam kerajaan perpaduan baru.

Lihat Komen