malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'I love you, Papa...'
Diterbitkan:  Nov 24, 2022 6:52 AM
Dikemaskini: 6:52 AM
ADS

Ketika penyokong Pakatan Harapan (PH) meraikan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru Malaysia, anak ahli parlimen Tambun itu memberi ingatan mengenai cabaran yang bakal dihadapi kerajaan.

Menurut Nurul Izzah Anwar, selepas bapanya itu rasmi menjadi perdana menteri petang ini, ada banyak langkah penting yang perlu diambil ialah menyatupadukan rakyat di seluruh negara.

"Cabaran tetap menanti - dan selepas upacara angkat sumpah - usaha menyatu padukan teman-teman senegara, meneliti masalah ekonomi yang membelenggu, menarik pelaburan menerusi ransangan ekonomi dan bakat tempatan, dan membina ummah serta bangsa yang berteraskan keadilan sosial dan kenegaraan yang jitu," katanya dalam hantaran di media sosial awal petang ini.

Katanya setiap manusia akan berdepan dengan pelbagai ujian sama ada semasa menang atau kalah.

Dia yang juga bekas ahli parlimen Permatang Pauh juga menyatakan betapa pentingnya untuk penyokong parti itu terus tekal dengan dasar perjuangan yang dibawa.

"Yang pasti, sejak 1998 sehingga saat ini, adalah kewajipan untuk kita berpegang terus kepada garis batas perjuangan, menuntut keadilan bukan untuk diri kita, tetapi sebagai pemangkin kepada perlindungan untuk semua," katanya.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun dipersetujui Agong untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-10 hari ini. Presiden PKR itu dijadual mengangkat sumpah jam 5 petang nanti.

Pelantikan tersebut berdepan beberapa cabaran ekoran PH gagal mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat. Ia menyaksikan pelbagai usaha dan rundingan - serta kekangan - dibuat dalam usaha mendapatkan perdana menteri baru.

Dalam hantarannya Nurul Izzah juga menzahirkan rasa bangganya terhadap Anwar.

"I love you, Papa. Am always proud of you - even as you lay imprisoned as a prisoner of conscience (Saya sayang kamu, papa. Saya sentiasa bangga dengan anda - walaupun anda terbaring di dalam penjara sebagai tahanan hati nurani).

"Legasi yang kita tinggalkan untuk anak-anak dan generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit, tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli.

"Jadikan masa depan, masa kita bersama. Khayr, Insya-Allah," katanya.

Lihat Komen