malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

HARI 5 | Usaha menentukan perdana menteri yang kesepuluh diteruskan dengan Istana Negara mahu parti-parti politik menubuhkan kerajaan perpaduan.

Malaysiakini membawakan berita terkini secara langsung selepas pilihan raya umum.


Isnin cuti - PM

9:30 malam: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 Nov (Isnin) sebagai cuti umum.

“Saya telah memutuskan bahawa esok tidak akan cuti, tetapi ia akan diganti (ke depan) Isnin.

“Saya telah berbincang dengan ketua setiausaha kerajaan dan Yang Di-Pertuan Agong kerana saya telah berjanji untuk bercuti pada hari Isnin, tetapi pada hari Isnin, peralihan itu masih belum selesai.

"Ia baru sahaja diselesaikan hari ini, alhamdulillah, dan saya akan menunaikan janji saya yang dialihkan ke Isnin minggu depan," katanya.


Panggilan dari Turki

9:10 malam: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba untuk memulakan sidang media apabila Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menghubunginya.

Suara lelaki dan penterjemah wanita boleh didengari di seberang panggilan, ketika Anwar menerima panggilan itu secara langsung di televisyen.


8.05 malam: Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengumumkan penangguhan sedikit masa untuk sidang media pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Ismail Sabri kenang jasa Keluarga Malaysia

7.45 malam: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan penghargaannya kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya selama berkhidmat dalam kabinet.

Ahli parlimen Bera itu juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pelantikannya petang tadi.

"Terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia dan keluarga penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan yang telah bersama-sama saya selama ini.

"Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi.

"Saya mendoakan kerajaan baru ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara," katanya.


Menanti sidang media pertama PM

7.22 malam: Semua mata tertumpu pada sidang media pertama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang baru dilantik pada 8 malam hari ini di Rumah Kelab Sungai Long di mana media dan penyokong berkumpul.

Anwar sebelum itu tiba dari Istana Negara selepas upacara angkat sumpah rasmi.

Di sekeliling dewan kedengaran perbualan teruja mengenai pelantikan yang ditunggu-tunggu oleh pengikut pengerusi Pakatan Harapan itu.

Di satu sudut, kain putih diletakkan di atas permaidani sebagai ruang solat lelaki sementara, bagi mereka yang tiada masa untuk keluar dan mencari surau terdekat.


Anwar meninggalkan istana

6.36 petang - Anwar Ibrahim meninggalkan istana dengan pengiring, lebih sejam selepas majlis angkat sumpahnya.

Perdana menteri yang baru dilantik itu tersenyum lebar apabila keluar, melambai kepada media.

Dipercayai dia sedang menuju ke Rumah Kelab Sungai Long untuk sidang media pertamanya sebagai perdana menteri.


Masa bergerak ke hadapan, kata MCA

6.20 petang: MCA menyampaikan ucapan tahniah kepada Anwar Ibrahim selepas pengerusi PH itu selesai mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati keputusan untuk membentuk kerajaan perpaduan demi mendapatkan kestabilan politik.

"Tahniah diucapkan kepada YAB PM10! Satu tanggungjawab besar yang perlu digalas.

"Semoga dengan kepimpinan YAB PM baru ini, negara kita dapat menghapuskan politik dendam dan mengelak daripada sebarang perpecahan dalam sebuah masyarakat majmuk.

"Masa depan negara perlu ke arah kesederhanaan dan meraikan kepelbagaian. Semoga Malaysia menuju ke arah kestabilan dan kemakmuran," katanya.


GPS sertai kerajaan perpaduan

6 petang - GPS akan menyertai kerajaan perpaduan yang akan dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang baru dilantik, mengikut titah Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya Abang Johari Openg berkata gabungan pemerintah yang berpangkalan di Sarawak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, dengan menyatakan Seri Paduka mahukan kerajaan yang kukuh dan stabil.

Abang Johari Openg

“Agong menasihatkan kita membentuk kerajaan perpaduan bagi mengatasi kebuntuan politik.

“Kita patuh kepada sistem raja berperlembagaan dan Rukun Negara dengan jelas menyatakan bahawa kita mesti patuh kepada raja, walaupun kita tidak mempunyai raja di Sarawak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abang Johari yang juga premier Sarawak berkata beliau menerima permohonan maaf DAP, yang sebelum ini disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan pengerusi Lim Guan Eng, dengan hati terbuka.


Presiden PKR akan mengetuai kerajaan perpaduan.

5.10 petang - Presiden PKR Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 negara.

Dia mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 5 petang.

Majlis itu disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen nasional dan laman Facebook Jabatan Perdana Menteri.

Anwar, yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan, menggantikan naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai ketua eksekutif negara.

Pelantikan Ahli Parlimen Tambun berusia 75 tahun itu dibuat selepas hampir seminggu kebuntuan politik berikutan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Harapan mempunyai 82 kerusi di Parlimen, kurang daripada 112 yang diperlukan untuk majoriti mudah.


Persekutuan Pengakap Malaysia nafi naikkan poster Muhyiddin

4.55 petang: Persekutuan Pengakap Malaysia menafikan mengeluarkan poster dengan imej pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin memakai pakaian seragam pengakap.

Poster itu juga memuatkan ucapan tahniah atas pelantikan Muhyiddin sebagai Pengakap Malaysia (PM), ucapan awal untuk Perdana Menteri.

“Imej itu tiada kaitan dengan Persekutuan Pengakap Malaysia dan dilakukan tanpa pengetahuan kami.

"Persekutuan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang didapati bertanggungjawab," katanya.


Laungan ‘Reformasi’ dan ‘Malaysia Boleh’ di pekarangan istana

4.33 petang - Sementara itu di pintu gerbang istana, penyokong PH melambai dan bersorak ketika Ahmad Zahid Hamidi berlalu. Dia kelihatan tersenyum dan melambai ke belakang.

Para penyokong kini menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Diikuti dengan laungan “Reformasi” dan “Malaysia Boleh”


Anwar tiba di Istana Negara

4.32 petang - Tidak lama lagi untuk mengangkat sumpah Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara dengan beberapa pengiring.

Dia melambai kepada media sebaik tiba di Istana Negara.

Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung pada jam 5 petang.


Solidariti kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi

4.30 petang: PWTC KL - Sekumpulan 90 ketua bahagian Umno dari seluruh negara mengadakan sidang media bagi menunjukkan solidariti kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi berikutan gesaan MCA dan MIC supaya beliau berundur sebagai pengerusi BN.

Jurucakap kumpulan itu Mohd Shafie Abdullah, yang merupakan ketua bahagian Wangsa Maju, mendakwa bahawa sejumlah 130 ketua bahagian Umno telah berikrar menyokong presiden dan mereka menyeru orang lain yang sama ada membelakangi Zahid atau tidak pasti ke mana hendak pergi, untuk "kembali bersatu" bersama mereka semua untuk menjadikan parti itu kembali kukuh.

Mereka juga menegur MCA dan MIC kerana menggesa Zahid berundur.

“Kami telah membantu membawa mereka selama berpuluh-puluh tahun, malah mereka menang di kerusi majoriti Melayu.

"Tetapi apabila kami dalam keadaan kritikal, mereka membelakangi kami," kata Shafie.


Zahid Hamidi ke Istana

4.10 petang: PWTC KL - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berlepas ke Istana Negara untuk menghadiri majlis angkat sumpah Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim.

Selepas menghadiri mesyuarat tertutup dengan kira-kira 100 pemimpin Umno bahagian di sebuah kafe berhampiran ibu pejabat parti, Zahid, yang berpakaian lengkap Baju Melayu, dihantar ke keretanya oleh ketua bahagian.

Zahid bagaimanapun menolak permintaan untuk komennya, kecuali mengesahkan bahawa dia akan pergi ke istana.

Beliau dan ramai pemimpin Umno dilihat berada dalam suasana yang sangat baik, dipercayai ada kaitan dengan pengumuman istana melantik Anwar sebagai PM.


Polis iring Anwar ke Istana Negara

4 petang: Kira-kira 10 kenderaan pengiring polis bertolak dari kediaman Anwar Ibrahim, menuju ke Istana Negara.

Rombongan itu bertolak pada jam empat petang, dengan Anwar menaiki kereta BMW bernombor pendaftaran "BEM 1".

Dia sempat melambai kepada media dan kira-kira 100 penyokong yang berkumpul di situ.


'GPS mungkin akan jadi anggota pentadbiran Anwar'

3.30 petang: Mengalu-alukan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baru, pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata gabungan itu mungkin akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang akan ditubuhkan.

“Saya gembira, kebuntuan telah berakhir.

“Saya harap kerajaan baru akan berlaku adil kepada semua, termasuk Sabah dan Sarawak. GPS akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan baru," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Anwar dijangka mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong pada jam lima petang ini.


Zahid tiba di WTC

3.45 petang: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di Riverside Cafe di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur untuk mesyuarat dengan ketua-ketua bahagian Umno.

Difahamkan mesyuarat itu untuk membincangkan desakan yang disuarakan parti komponen BN agar Zahid letak jawatan sebagai pengerusi gabungan itu.

Menurut Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos, lebih 100 ketua bahagian yang hadir ke mesyuarat itu.


3.15 petang: Dengan Anwar Ibrahim dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baru pada petang ini, polis menggesa penyokong semua parti politik agar menghormati undang-undang, agar acara itu berjalan dengan lancar.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang tindakan provokasi, termasuk menyentuh sentimen kaum dan agama.

Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang berbuat demikian, katanya lagi.


'Presiden MCA, MIC yang patut letak jawatan, bukan Zahid'

2.45 petang: Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos mengecam presiden MCA dan MIC susulan desakan dua parti komponen itu agar Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan sebagai pengerusi.

"Mereka yang sepatutnya letak jawatan, bukan presiden Umno," katanya kepada pemberita.

Jamal ditemui di ibu pejabat Umno untuk mesyuarat ketua Umno bahagian bagi menunjukkan solidariti terhadap Zahid dan menyuarakan kekesalan mereka atas desakan yang dibuat MCA dan MIC.


Penyokong mula tiba di rumah Anwar

2.30 petang: Sejumlah penyokong dilihat mula berkumpul di sekitar rumah Anwar Ibrahim untuk melihat presiden PKR itu bertolak ke Istana Negara untuk acara angkat sumpah sebagai perdana menteri kesepuluh.

Ada juga sebahagian yang berjalan di sekitar kejiranan di Kajang itu sambil membawa bendera PH.

Menurut polis yang berkawal di situ, pengiring polis masih belum tiba untuk membawa Anwar ke Istana.

Turut tiba adalah Nurul Izzah Anwar.


Zahid: Mari bina kembali negara demi kebaikan semua

2.10 petang: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan penghargaan kepada sekumpulan penyokongnya atas solidariti yang ditunjukkan awal hari ini.

Ia di saat gesaan dari dalam BN agar dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu.

"Kekal tenang dan mari kita bina kembali Malaysia demi kebaikan semua agama dan bangsa demi anak cucu keturunan kita.

"Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk kerajaan perpaduan," katanya dalam hantaran di Facebook.

Dia juga menggesa agar tiada pihak yang "derhaka" walau kecewa dengan keputusan yang telah dibuat Agong.


Penyokong PKR baca doa kesyukuran di pejabat Anwar

2.05 petang: Sekumpulan penyokong PKR keluar dari pejabat Anwar Ibrahim di Bukit Gasing untuk membacakan doa kesyukuran susulan pengumuman rasmi hari ini.

Kumpulan itu turut melaungkan "Reformasi" - slogan yang cukup sinonim dengan PKR dan Anwar.

Pengamal media pula sedang menunggu pengesahan jika Anwar akan singgah ke pejabatnya dalam perjalanan ke Istana Negara dari rumahnya di Kajang.

Antara yang ada adalah Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim, Ketua Wanita PKR Fadhlina Siddek dan bekas senator PKR Yusmadi Yusoff.


Rafizi gesa semua pihak bertenang

2 petang: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa semua penyokong untuk kekal bertenang dalam menyambut pengumuman pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang baru.

Rafizi juga menggesa semua pemimpin dan penyokong PH untuk tidak berkumpul untuk mengelakkan sebarang risiko profoksi.

"Berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh politik.

"Berhati-hati dengan sebarang kandungan di media sosial atau pesanan ringkas yang boleh menimbulkan kerisauan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

"Kita semua perlu bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina kembali Malaysia, demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat dari semua kumpulan, kaum, negeri dan latar belakang," katanya dalam kenyataan.


Kegembiraan di pejabat Anwar

1.50 tengah hari: Kegembiraan jelas terasa di pejabat Pengerusi PH Anwar Ibrahim di Bukit Gasing, Petaling Jaya apabila berakhirnya penantian berkenaan perdana menteri baru.

Ia selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelantikan Anwar ke jawatan itu.

Suara sorakan dan wajah gembira terpapar di perkarangan banglo tersebut. Antara penyokong yang ada adalah bekas naib presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan Naib Ketua Wanita PKR Sangetha Jayakumar.

Selain itu, semakin ramai pengamal media tiba dan ada yang dilihat membuat persediaan untuk membuat siaran langsung.


1.43pm: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik anggota parlimen Tambun Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kesepuluh.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keputusan dibuat selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan raja-raja Melayu dalam perbincangan khas sebentar tadi.

lstiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sebagai perdana menteri akan berlangsung pada jam lima petang ini di lstana Negara.


1pm: Majlis Raja-raja Melayu selesai bersidang.

Kecuali Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu masing-masing berangkat pulang.

Difahamkan keputusan berkaitan siapa bakal perdana menteri sudah dibuat dan kenyataan akan dikeluarkan tidak lama lagi.


PN pertimbang kerajaan perpaduan dengan ‘parti sehaluan’

12.58pm: Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan, kata  Hamzah Zainudin.

Hamzah Zainudin

Setiausaha agung PN itu berkata ia demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Dia berkata demikian dalam kenyataan ringkas dua perenggan sebentar tadi, susulan keputusan mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN pada hari ini.


Sultan Johor, Yang Dipertuan Besar N Sembilan tinggalkan Istana Negara

12.30 tengah hari: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir meninggalkan Istana Negara pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Namun, Raja-raja Melayu lain masih berada di Istana Negara.

Tidak jelas sama ada perbincangan Khas Raja-Raja Melayu sudah selesai, berhenti rehat atau Sultan Ibrahim dan Tuanku Muhriz pulang lebih awal.


‘Lawan tetap lawan’ - Ahli Umno berhimpun sokong Zahid

12.15 tengah hari: Kira-kira 50 ahli Umno mengadakan himpunan di depan ibu pejabat parti itu bagi menyuarakan sokongan kepada presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Himpunan itu sebagai reaksi kepada desakan dari parti komponen BN agar dia meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN.

Jurucakap kumpulan itu, Ramalan Yunus menepis pandangan bahawa BN kalah dalam PRU15, dan menekankan bahawa Umno masih memerlukan Zahid.

Dia juga menggesa orang ramai menyokong nasihat Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan perpaduan ditubuhkan.


GRS akur apa saja titah Agong untuk wujudkan kerajaan perpaduan

12 tengah hari: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akur kepada apa saja keputusan dan nasihat Yang Di-Pertuan Agong bagi mewujudkan kerajaan perpaduan, kata Hajiji Noor.

Gabungan ini menang enam kerusi Parlimen dalam PRU lalu.

Pengerusi gabungan itu berkata langkah itu demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

“GRS berpendirian bahawa penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif dan melibatkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.

“Untuk memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji juga berkata pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.

Hajiji dan Abang Johari

Lim juga mohon maaf kepada Sarawak

11.50 pagi: Pengerusi DAP Lim Guan Eng memohon maaf atas kenyataannya yang mungkin pernah menyinggung perasaan Premier Sarawak, Abang Johari Openg dan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia menyusuli permohonan maaf Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang disampaikan kepada Abang Johari dalam pertemuan mereka di Kuching, pagi ini.

"Saya mohon maaf atas kenyataan saya yang mungkin telah menyinggung perasaan premier Sarawak dan kerajaan negeri pimpinan GPS.

"Masa depan negara lebih penting. Marilah kita membuat permulaan baru untuk bekerjasama demi mengekalkan kepelbagaian, keterangkuman dan kesatuan masyarakat berbilang agama dan budaya kita, serta melindungi Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan.

Pada 2019, Lim ketika menjadi menteri kewangan berkata Sarawak akan bangkrap dalam masa tiga tahun jika GPS kekal mentadbir negeri itu.

Baca berita penuh di sini.


Hampir semua Raja-raja Melayu tiba di Istana Negara

11.30 pagi: Lapan dari sembilan Raja-raja Melayu telah tiba di Istana Negara - kecuali Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Tidak jelas sama ada Sultan Muhammad V akan menyertai mesyuarat hari ini atau tidak.


'Keputusan Umno petanda jelas kerajaan baru akan ditubuh'

11.25 pagi: Bekas pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam untuk menyokong kerajaan perpaduan yang tidak diketuai PN, adalah petanda paling jelas setakat ini berhubung penubuhan kerajaan baru.

"Ia satu petanda yang kita (PH) boleh bekerja dengan mana-mana parti kecuali PN," katanya kepada pemberita ketika tiba di pejabat Anwar Ibrahim di Bukit Gasing.

"Hari ini, saya hanya jumpa kawan-kawan untuk tindakan seterusnya," katanya lagi.

Di perkarangan pejabat Anwar, semakin ramai pemberita mula berkumpul untuk menunggu perkembangan terbaru isu pelantikan perdana menteri baru.

Makanan ringan turut disediakan untuk mereka.


Polis tahan presiden Parti Bumi Kenyalang

11.15 pagi: Polis telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan dan tiga individu lagi yang mengadakan bantahan terhadap PAS, di Sarawak malam tadi.

Menurut Dayak Daily, polis menahan empat individu itu malam tadi.

Mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman pagi ini.

Menurut laporan itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan atas kesalahan "menyubahati kesalahan dilakukan oleh orang awam, atau oleh seramai lebih 10 orang".

Mereka didakwa telibat dalam himpunan yang antara lain membawa sepanduk 'Say No To PAS'.


DAP mohon maaf kepada k'jaan, rakyat Sarawak

10.50 pagi: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg di Kuching.

Dalam pertemuan itu, Loke berkata DAP memohon maaf kepada Abang Johari di atas sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan penduduk Sarawak.

"Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka.

"Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi Malaysia yang lebih maju dan progresif," kata Loke dalam kenyataan.

Pertemuan turut disertai oleh Timbalan Premier Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian.

DAP dilihat menghulurkan 'salam perdamaian' kepada GPS ketika spekulasi mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.

Parti itu sering kali dilihat sebagai penghalang utama untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama dengan PH.

Pelbagai pihak juga berharap GPS akan menyokong kerajaan perpaduan pimpinan PH, selaras dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Baca berita penuh di sini.


‘Sabar saudara KJ’ - Zahid

10.30 pagi: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menasihati Khairy Jamaluddin untuk menunggu pemilihan parti yang akan diadakan tak lama lagi.

Ia berikutan kritikan Khairy terhadap Ahmad Zahid berkaitan rundingan untuk menubuhkan kerajaan baru yang sedang berjalan.

"Jawatan dalam parti sesiapa pun boleh bertanding nanti.

"Sabar saudara KJ," kata Zahid ketika membalas hantaran Khairy semalam.

Dalam hantaran itu, Khairy berkata Zahid tiada autoriti moral untuk terlibat dan malah membuat keputusan berhubung rundingan pembentukan kerajaan baru.

Ketika kempen PRU15, Khairy ada menyatakan hasratnya untuk memimpin Umno di masa akan datang.


Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara

10 pagi: Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara untuk mesyuarat Majlis Raja-raja pada pagi ini.

Malay Mail melaporkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba paling awal, iaitu pada kira-kira jam 9.40 pagi.

Selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik, Yang di-Pertuan Agong memanggil mesyuarat itu bagi mendapatkan pandangan berhubung pelantikan perdana menteri kesepuluh.


Hadi: Kita masih di hadapan

9 pagi: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa PN "masih di hadapan".

"Kekal tenang. Kita sedang usahakan. Kita masih di hadapan.

"Mereka merancang. Allah merancang. Kita di pihak yang benar. Insya-Allah kita terpelihara, negara terpelihara," katanya di Facebook hari ini.

Dua hari lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata dia ada sokongan 115 ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Dia juga berkata PN tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong agar gabungan itu menubuhkan kerajaan perpaduan dengan PH.


Dewan Perhimpunan Penyokong PAS: PN gabungan pelbagai kaum

8.45 pagi: Ketua Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam berkata PN mendukung aspirasi kepelbagaian kaum dan ia terbukti apabila ramai calon bukan Melayu dan bukan Islam dieltakkan dalam PRU15, dari Bersatu, Gerakan, Parti Maju Sabah (Sapp) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

"Ini membuktikan bahawa PN bukanlah sebuah pakatan politik yang mementingkan kaum tertentu sahaja seperti yang cuba digambarkan oleh pihak-pihak tertentu.

"DHPP menggesa supaya semua pihak memainkan peranan untuk membina perpaduan, bukan mengambil peluang membina jurang dan akhirnya meruntuhkan perpaduan yang telah kita kecapi selama ini," katanya di Facebook.

Sementara itu, The Vibes melaporkan Biskop Kuching, Rev Danald Jute menyuarakan harapan agar GPS tidak menubuhkan kerajaan dengan PN.

"Pendirian saya, ekstremis tidak boleh dibenarkan - apatah lagi digalakkan dan disokong - untuk menormalkan kebencian mereka terhadap kaum dan penganut agama lain.

"Kita tak boleh benarkan ahli politik terus memisahkan kita kerana keharmonian tidak datang secara natural," katanya seperti dipetik.


Pemimpin tertinggi BN bertemu hari ini?

8.30 pagi: Pada masa ini, belum dipastikan jam berapa Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat, kalau pun mesyuarat itu memang akan diadakan.

Semalam, tiga pemimpin BN mendesak Ahma Zahid Hamidi agar letak jawatan sebagai pengerusi gabungan itu.

Apa yang dipastikan setakat ini adalah Majlis Raja-raja akan bermesyuarat pada jam 10.30 pagi.

Media juga tidak lagi berkumpul di luar rumah Pengerusi PH Anwar Ibrahim di Kajang, Selangor.

Lihat Komen