malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Deklarasi Profesor Melayu G70 tidak wakili Majlis Profesor Negara'
Diterbitkan:  Nov 17, 2022 5:07 PM
Dikemaskini: 11:29 AM
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pandangan sekumpulan 70 profesor Melayu dikenali sebagai G70 yang dikatakan menyokong Pakatan Harapan (PH) dan usaha pengerusinya, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri tidak mewakili Majlis Profesor Negara (MPN) secara keseluruhan.

Menurutnya, Presiden MPN Prof Raduan Che Ros telah menyatakan pandangan itu tidak mewakili keseluruhan profesor di negara ini.

"Biasalah dalam mana-mana pertubuhan mesti ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong, tetapi ia tidak mewakili keseluruhan MPN malah mereka juga menafikan kenyataan (yang dibuat G70) itu mewakili MPN," katanya yang dipetik Bernama, hari ini.

Gambar Hiasan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan semalam turut menafikan sebarang penglibatan dengan penganjuran sidang media khas Deklarasi Profesor Melayu G70, serta memaklumkan kenyataan kumpulan itu bukan representasi rasmi kakitangan akademik atau profesor.

Deklarasi itu menyatakan bahawa selepas memberi pertimbangan sewajarnya, mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri kerana menurut mereka presiden PKR itu adalah satu-satunya yang mempunyai pengalaman, kredibiliti dan integriti untuk memimpin masyarakat majmuk berdasarkan keperluan Islam sebagai agama persekutuan.

Mereka juga menyifatkan PH, gabungan yang dipimpin Anwar, adalah pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjaga kepentingan umat Islam, Melayu dan bumiputera.

Gambar Hiasan

Mengenai poster barisan kabinet bayangan yang tular di media sosial, Ismail Sabri dipetik Bernama sebagai berkata ia hanya perang psikologi yang dijalankan pihak lawan.

Menganggap tindakan pihak lawan itu kerana tidak mempunyai 'produk' untuk dijual kepada pengundi, Ismail Sabri berkata beliau tidak akan menggunakan taktik sedemikian dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Terserah kepada dialah (lawan), dia nak keluarkan kabinet bayangan ke?

“Saya tidak keluarkan Kabinet bayangan kerana tumpuan saya adalah untuk menang pilihan raya,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Majlis Semarak Uniti Keluarga Malaysia di Dataran Kerayong di Bera hari ini.

Dia ditanya mengenai poster barisan kabinet bayangan yang tular sejak semalam, menyenaraikan pemimpin daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya adalah kerajaan perpaduan gabungan dua parti terlibat.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap pengundi tidak terpengaruh atau keliru dengan propaganda tersebut, sebaliknya mendengar penjelasan daripada BN yang berasaskan fakta, melihat rekod pencapaian serta manfaat yang akan dibawa BN jika terus menerajui pentadbiran negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen