malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Kehadiran di Dewan Rakyat tak sama macam ke sekolah'
ADS

PRU15 l Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menolak dakwaan bahawa dia sering tidak hadir sidang Dewan Rakyat seperti yang dimainkan pihak lawan dalam kempen pilihan raya umum ke 15(PRU15) kali ini dan berkata tohmahan itu tidak menjejaskan dirinya.

Sebaliknya, calon kerusi Parlimen Marang itu berkata kehadiran ke Dewan Rakyat bukan sama seperti kehadiran ke sekolah.

“Tak menjejaskan. Kehadiran Parlimen bukan macam kehadiran ke sekolah. Itu orang tak faham. Menteri-menteri bukan duduk menunggu macam itu saja (sepeti) di sekolah.

“Jadi dia jawab soalan, selesai semua kemudian dia jalankan tugas di luar (kawasan masing-masing),” katanya kepada pemberita di Rusila, Marang, hari ini.

Analisis ke atas rekod kedatangan Dewan Rakyat pada sidang baru-baru ini menunjukkan ada beberapa ahli parlimen kanan terdedah kepada sikap culas.

Ia juga menunjukkan kadar kehadiran ahli parlimen kerajaan adalah lebih rendah berbanding kadar kehadiran purata Dewan Raktyat.

Antara mereka yang dinamakan sebagai kerap tidak hadir adalah Mahdzir Khalid, Hadi, Mohd Shafie Apdal dan Hamzah Zainudin.

Data yang dibekalkan oleh kumpulan masyarakat sivil MyMP yang menganalisis Hansard Dewan Rakyat untuk lima persidangan lalu, iaitu sejak 26 Julai tahun lalu mendapati Hadi

hanya hadir 21 hari daripada 71 persidangan.

Mengulas lanjut, Hadi berkata ketidakhadiranya di Dewan Rakyat juga kerana terdapat tugas-tugas khas selain sebagai ahli Parlimen.

Menurutnya, dia juga mahu memberi peluang kepada golongan muda khususnya daripada partinya untuk terlibat dalam sesi perbahasan kerana setiap parti mempunyai kuota kehadirannya tersendiri.

“Saya sudah lama di Parlimen, boleh tengok hansard (Parlimen) penglibatan saya di Parlimen, banyak.

"Pernah berucap satu jam, dua jam, pernah jadi ketua pembangkang, itu semua dibukukan.

"Jadi, saya lebih banyak beri peluang kepada orang-orang muda (ahli Parlimen) untuk terlibat dalam perbahasan, kerana perbahasan ini ikut kouta parti. Kalau saya bercakap kuranglah kouta dan anak-anak muda ini tak boleh bercakaplah,” katanya.

Hadi menang di Parlimen Marang selama tiga penggal berturut-turut dan pada PRU14 dengan majoriti 21,954.

Dia yang juga penyandang kerusi Parlimen Marang dilantik memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah semasa pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 2 April 2020.

Lihat Komen