malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCA optimis lapan calonnya mampu buat kejutan di Pahang
ADS

PRU15 | MCA optimis lapan calonnya di Pahang dengan majoriti adalah muka baru, dapat membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata taruhan mengetengahkan calon itu bagi mewakili Barisan Nasional (BN) merupakan strategi untuk memenangi hati pengundi selain memberikan nafas baharu kepada barisan kepimpinan parti.

"Semua calon dipilih berdasarkan sumbangan dan keserasian mereka dengan masyarakat setempat dan selaku orang muda, mereka sangat berpotensi," katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Wee dalam pada itu berharap strategi menukar kerusi dengan UMNO yang membolehkan Ketua MCA Indera Mahkota Datuk Quek Tai Seong bertanding di Parlimen Indera Mahkota akan membolehkan BN merampas semula kerusi berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, MCA diberikan kerusi Parlimen Kuantan manakala UMNO bertanding di Parlimen Indera Mahkota, namun kedua-dua calon kalah kepada PKR semasa itu.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Kuantan ditandingi calon BN dari UMNO iaitu Datuk Ab Hamid Mohd Nazahar, yang merupakan Ketua UMNO Kuantan.

Selain Quek, MCA pada PRU15 turut mempertaruhkan Setiausaha Agungnya Datuk Chong Sin Woon untuk bertanding di kerusi Parlimen Raub dan enam lagi di peringkat DUN.

Lima daripada mereka ialah calon baru iaitu Wong Yap Wah di DUN Tanah Rata, Lim Teck Hoe (Tras), Wong Tze Shiang (Mentakab), Wong Siew Mun (Bilut) dan Yee Cheng Hwa (Triang), manakala Tee Choon Ser bertanding buat kali kedua di Teruntum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen