malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada kelibat Najib, namun ‘super ring’ tetap ada
Diterbitkan:  Nov 5, 2022 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM
ADS

Di Amazon.com, "Super Ring" digambarkan sebagai keropok atau makanan ringan yang mampu mengimbas semula kenangan zaman kanak-kanak buat rakyat Malaysia dan Singapura.

Dalam politik Malaysia, bagaimanapun, ia dikaitkan dengan Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Ketika dia bebas, bekas perdana menteri itu yang juga adalah ikon media sosial sering ‘menganjing’

pesaing politiknya, dan pada beberapa hantaran, dirakam sedang mengunyah snek berperisa keju tersebut ketika berbuat demikian.

Maka tidak hairanlah "super ring" membuat penampilan pada hari penamaan calon untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yang adalah pilihan raya nasional pertama Najib “menghilang” sejak 1976.

Penyokong Pakatan Harapan yang mengiringi calonnya, Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP ke pusat penamaan calon bagi kerusi Ayer Hitam di Johor sambil membawa beberapa bungkus makanan ringan itu.

Justeru, apabila penyokong BN mengejek, mereka membalas dengan mengunyah "super ring" dan bertanya, "Mana Bossku?”

Terdahulu, penyandang kerusi Ayer Hitam dan penyokong Presiden MCA Wee Ka Siong mempersendakan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, yang tidak lagi bertanding di situ sambil melaungkan "Chin Tong Lari".

Dalam PRU14 lalu, Liew tewas kepada penyandang tiga penggal itu dengan hanya 303 undi.

Apabila DAP mengumumkan bahawa PH akan meletakkan Sheikh Umar, Wee yang "kecewa" melabelkan Liew sebagai calon "penakut".

Dia mendakwa Liew telah berikrar untuk bertanding semula di kerusi itu.

Pada PRU15 kali ini, presiden MCA itu akan terlibat dalam pertembungan tiga penjuru, termasuk daripada Muhammad Syafiq A Aziz dari Perikatan Nasional.

Bagi Najib, dia terpaksa mengikuti perkembangan terkini pilihan raya dari tirai besi Penjara Kajang.

Bagaimanapun, dia mungkin sedikit lega apabila mengetahui bahawa anaknya, Mohd Nizar akan bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya di bawah kerusi Parlimen Pekan di Pahang.

Sebelum ini, spekulasi Nizar akan diturunkan untuk mempertahankan kerusi Pekan yang disandang bapa dan datuknya selama lebih enam dekad bertiup kencang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen