malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR pertaruh mahasiswa di kubu kuat BN di Perlis
ADS

Pakatan Harapan (PH) Perlis akan meletakkan mahasiswa berumur 23 tahun - yang juga merupakan bakal calon termuda setakat ini - untuk bertanding di kubu kuat BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhammad Syahmi Suhaimi (gambar atas) yang juga merupakan penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dalam bidang Kejuruteraan Awam akan bertanding mewakili PKR di DUN Tambun Tulang.

Muhammad Syahmi juga merupakan ketua penerangan PKR Cabang Arau.

Perkara itu dimaklumkan pada majlis pengumuman calon-calon PKR bagi dewan undangan negeri (DUN) di Kangar, Perlis hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PH Perlis Noor Amin Ahmad berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya mampu menjadi 'king maker' selain berusaha meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Noor Amin berkata perkembangan politik semasa di negeri Indera Kayangan itu membuka peluang untuk PH mencapai majoriti mudah.

"Sudah tentu mana-mana parti yang masuk bertanding kita sasarkan kemenangan. Perlis bukan negeri yang mudah, kita ambil pengalaman dalam pilihan raya lepas, kita tahu ini kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"Tetapi saya percaya dinamik politik selalu berubah dan kami ada peluang untuk menang sama ada menang secara mutlak iaitu dengan lapan kerusi ataupun boleh mempunyai cukup kerusi untuk menjadi 'king maker'," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Dalam program yang dihadiri Pengerusi PKR Perlis Nurul Izzah Anwar itu turut diumumkan sembilan calon mewakili PKR daripada keseluruhan 15 kerusi DUN.

Ia menyaksikan pertambahan empat kerusi DUN ditandingi PKR berbanding PRU pada 2018 dengan menampilkan enam calon muka baru dan tiga lagi penyandang sedia ada.

Selain itu lima kerusi ditandingi calon Amanah dan satu kerusi menjadi taruhan DAP.

Nor Azam Karap bakal mempertahankan kerusi DUN Kuala Perlis, Gan Ay Ling kekal di Indera Kayangan dan Asrul Nizan Abd Jalil mempertahankan DUN Sena.

Lima lagi calon muka baru masing-masing Natthavuth A/L Seng di Chuping; Amran Kamarudin (Mata Ayer); Azhar Ameir (Pauh); Hasparizal Hassan (Guar Sanji) dan Amran Darus di Simpang Empat.

Empat kerusi baru itu masing-masing di Mata Ayer, Pauh, Tambun Tulang dan Guar Sanji .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen