malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes aktivis Bersih isu hantaran media sosial akan didengar hakim baru
ADS

Kes mahkamah melibatkan bekas timbalan pengerusi Bersih berhubung hantaran media sosialnya akan didengar hakim Mahkamah Sesyen Taiping yang baru.

Mahkamah Tinggi Taiping hari ini memerintahkan hakim Mahkamah Sesyen yang baru mendengar kes terhadap Sarajun Hoda Abdul Hassan.

Pesuruhjaya kehakiman Noor Ruwena Md Nurdin petang ini membenarkan permohonan oleh pasukan pembelaan tertuduh.

Hari ini juga ditetapkan untuk keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan Sarajun supaya Mahkamah Tinggi meneliti perlembagaan dan kesahihan peruntukan yang digunakan dalam pendakwaan, iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 18 Mei lalu, hakim Mahkamah Sesyen Nizam Zakaria tidak membenarkan permohonan tertuduh untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi isu kesahihan peruntukan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam tertuduh Abraham Au berkata bahawa Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonan untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan kerana terdapat beberapa preseden undang-undang berhubung isu kesahihan Seksyen 233.

Peguam itu bagaimanapun berkata bahawa Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka yang lain untuk hakim Mahkamah Sesyen baru untuk mendengar kes terhadap Sarajun Hoda.

"Kami mengemukakan (di hadapan Mahkamah Tinggi) bahawa hakim Mahkamah Sesyen sebenarnya telah menyatakan kesalahannya," kata Au, sambil menambah bahawa perbicaraan itu belum pun bermula di Mahkamah Sesyen.

Peguam itu berkata pembelaan berhujah bahawa tindakan hakim Mahkamah Sesyen melangkau kuasanya yang diberikan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Tambah Au, kes terhadap Sarajun ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen pada 13 Dis.

Pada 3 Ogos tahun lalu di hadapan Mahkamah Sesyen Taiping, Sarajun Hoda minta dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) kerana didakwa menyiarkan komen menghina di media sosial.

Mengikut kertas pertuduhan bagi kes jenayah itu, tertuduh didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang menyinggung tentang Islam di laman Facebooknya antara 9 pagi dan 12.52 tengah hari pada 26 April, yang dibaca selepas kira-kira 9 pagi di No 15, Jalan Wawasan 8, Taman Wawasan Jaya di Parit Buntar pada 27 April 2021.

Pertuduhan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kini diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya kini ditahan mahkamah.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada ikat jamin, dia dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen