Umno kekal dengan keputusan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika BN menang PRU15, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi
Zahid yang juga pengerusi BN itu berkata, dakwaan bahawa dia yang akan menjadi perdana menteri jika BN menang adalah usaha untuk memecahbelahkan gabungan itu.
"Jika ada parti pembangkang 'menamakan' orang lain sebagai calon perdana menteri selain Ismail Sabri itu adalah usaha memecahbelahkan Umno dan BN.
"Kita berpegang kepada prinsip Umno telah mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri itu tidak boleh dipertikaikan lagi," katanya ketika sidang media selepas merasmikan persidangan Umno bahagian Bagan Datuk, hari ini.
Namun, kata Zahid lagi, kuasa melantik perdana menteri tetap merupakan kuasa mutlak Yang di di-Pretuan Agong mengikut perkara 40 (1)(B) Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah mencalonkan Ismail Sabri yang juga perdana menteri kerajaan sementara sebagai 'poster boy' BN.
Bagaimanapun ada pihak mendakwa Ahmad Zahid yang akan menjadi perdana menteri sekiranya BN kekal di Putrajaya.
Penganalisis politik yang berpendapat kedudukan Ismail sebagai poster boy BN bukan jaminan dia akan dilantik semula ke jawatan itu selepas PRU15.
Semalam, beberapa Umno bahagian yang telah bersidang membuat ketetapan menyokong keputusan Umno memilih Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri.