malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Jangan pendam dendam panjang dalam berpolitik
ADS

ULASAN | Penggal parlimen lepas adalah politik gelap negara. Politiknya tidak stabil sehingga kerajaan silih berganti dengan tiga perdana menteri.

Paling pendek menjadi perdana menteri ialah Ismail Sabri Yaakob. Sekarang kita menghadapi pilihan raya umum lagi.

Pertanyaannya, parti mana yang hendak dipilih bagi membentuk kerajaan yang stabil?

Yang pentingnya parti yang perlu kita pilih ialah parti yang mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah ini: memulihkan ekonomi negara, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tidak membodohkan rakyat, dapat menjaga maruah negara di pentas dunia, mengurangkan hutang negara, meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, mensejahterakan rakyat, memerintah dengan adil, membangunkan negara secara seimbang dan lestari, mendapat kepercayaan pelabur, membina Malaysia yang cemerlang, dan menjamin kestabilan politik.

Apakah kita ada parti tersebut? Ada jika kita mempunyai maklumat yang baik dan menilai prestasi kerajaan sebelum ini.

Jika dilihat kepada prestasi kerajaan lepas, saya menilainya sebagai lemah. Sebabnya mudah: banyak duit negara dibazirkan dengan pelantikan kabinet yang gemuk dan jawatan-jawatan lain yang tidak penting sebagai habuan politik.

Polisi negara pula banyak bersifat ad hoc. Akhirnya, ekonomi negara, pasaran saham dan nilai ringgit jatuh. Jika ditegur, budaya penafian menguasai. Kita masih alergik pada pandangan berbeza.

Dengan lemahnya prestasi kerajaan lepas, saya melihat sokongan kepada PH semakin meningkat.

DAP masih menguasai kawasan majoriti kaum Cina, dan PKR masih menguasai kawasan semi-bandar kerana apabila undi Melayu berpecah, undi bukan Melayu akan membantu PKR.

Di kawasan luar bandar yang majoritinya Melayu khususnya di Kelantan dan Terengganu, persaingan adalah antara BN dan PN.

PH tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan pemimpin untuk bersaing di kawasan ini melainkan pemimpin dan calon berwibawa dapat ditonjolkan.

Persoalannya, bolehkah dan sempatkah dalam waktu yang singkat ini?

Di Sarawak, parti politik tempatan mendominasi. DAP boleh memenangi kerusi di 3 kawasan majoriti kaum Cina.

Di Sabah, BN dan PN mempunyai kekuatan dengan gabungan parti-parti tempatan bersama mereka. PH jika hendak menang pun hanya di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Tawau, dan Sandakan sahaja.

Senario di atas menunjukkan sukar bagi mana-mana parti untuk memenangi majoriti kerusi. Kerajaan ditentukan oleh kerjasama selepas PRU.

BN mempunyai peluang besar untuk menguasai kawasan Melayu, PN juga di kawasan majoriti Melayu yang menjadi kubu kuat PAS, dan PH di kawasan bukan Melayu dan semi-urban.

Jika ini berlaku, maka sekali lagi parti Sarawak dan Sabah akan menjadi king maker atau king breaker.

Apakah jangkaan ini boleh berubah? Tentunya boleh? Masih ada lagi waktu untuk setiap parti membuat tindakan taktikal dan teknikal dengan strategi kempen dan pemasaran politik masing-masing.

Aspek utama yang perlu diberikan perhatian selain isu, kekuatan kewangan, jentera kempen, media massa, janji politik, dan calon ialah dua perkara ini.

Pertama, perhatikan sokongan anak muda dan pengundi baru. Kedua, paling penting ialah kesediaan setiap parti untuk memilih rakan kerjasama masing-masing.

Ingat satu perkara: parti yang tidak bersatu memberi kelebihan kepada parti yang bersatu.

Bersatu dan bekerjasama itu penting untuk menonjolkan imej perpaduan dan mendapat kepercayaan rakyat. Rakyat mahukan kerajaan kuat dan stabil.

Jangan pendam dendam yang panjang dalam berpolitik. Saya mahu negara kita berubah dan dipimpin oleh pemimpin yang boleh menjadikan negara kita gah di pentas dunia.

Saya mahukan perubahan ini untuk generasi akan datang dan PRU inilah penentunya. Siapakah pemimpin yang terbaik untuk negara, kitalah yang memilihnya dalam PRU ini.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah seorang cendekiawan dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen