Perak akan dijadikan sebagai benteng hadapan oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata langkah itu penting untuk mencapai sasaran gabungan itu bagi menubuhkan negeri ‘koridor PH’ di pantai barat Semenanjung.
"Majlis presiden PH telah pun menetapkan Perak sebagai frontline state pada PRU akan datang. Ini (Perak) adalah negeri perjuangan utama supaya kita boleh menubuhkan koridor PH di sebelah pantai barat negara kita.
"Kita dah menang Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Tetapi kurang satu lagi iaitu Perak.
"Sekiranya, kita menang Perak pada PRU kali ini, dari utara ke selatan semua negeri menjadi koridor PH. Dan dari situ kita memperluaskan ke Johor dan Pahang," katanya pada majlis makan malam Deepavali bersama media anjuran DAP Perak di Ipoh, semalam.
Terdahulu, Nga yang juga penyandang ahli parlimen Teluk Intan berkata PH akan menganjurkan konvensyen kebangsaan gabungan itu pada 20 Oktober di Ipoh.
"PH akan menganjurkan konvensyen terbesar pada 20 Okt di Pusat Konvensyen Ipoh di mana pimpinan PH akan turun secara beramai-ramai," kata Nga yang dilantik sebagai pengarah konvensyen tersebut.
Katanya, pada pelancaran konvensyen itu terdapat empat pengumuman penting iaitu calon perdana menteri daripada PH, jumlah agihan kerusi yang akan ditandingi, maskot PH dan lagu temanya.
Untuk rekod, pada PRU 2008 pembangkang yang ketika itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat menang di Perak sebelum ditumbangkan oleh BN.
Pada 2013 BN mengekalkan negeri itu dengan majoriti tiga kerusi.
Pada 2018, PH menubuhkan kerajaan negeri diketuai timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Bagaimanapun Bersatu bertindak keluar PH pada 2020 dan mengadakan kerjasama dengan BN sebelum Ahmad Faizal digulingkan oleh wakil rakyat Umno pada 2021.
Saarani Mohamad daripada Umno kemudian dilantik sebagai menteri besar baru.

