Kerajaan bersetuju menyahklasfikasi dan mendedahkan kepada umum Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas buku memoir yang ditulis bekas Peguam Negara, Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in The Wilderness”.
Dalam satu kenyataan, perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas laporan itu dibentang dalam mesyuarat kabinet pada 30 Sept lalu.
"Susulan pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in The Wilderness”tulisan Tommy Thomas, kerajaan telah bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Ismail mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh bekas peguam negara itu dilaksanakan dengan segera.
Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak mendedahkan bagaimana atau bila dokumen itu akan disediakan.
Disember tahun lalu, kabinet menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat buku berkenaan.
Buku itu merangkumi tugas Thomas sebagai peguam negara dari 2018 hingga 2020.
Antara lain, Thomas dalam bukunya menyenetuh mengenai pelantikan hakim, dakwaan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman dan pendakwaan terpilih.
Pasukan petugas itu diketuai oleh bekas penasihat undang-undang kerajaan Sarawak, Fong Joo Chung.
Anggota lain adalah bekas penjawat awam Hashim Paijan, bekas penjawat awam Junaidah Kamarudin, bekas hakim Jagjit Singh Bant Singh, peguam Shaharudin Ali dan peguam K Balaguru.
Pada 30 Sept lepas, Ismail Sabri mengumumkan kabinet telah mengarahkan agensi penguatkuasa bertindak mengikut cadangan yang terkandung dalam laporan siasatan.
Ini termasuk menyiasat Thomas di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pada 1 Okt lalu, polis telah mengambil keterangan Thomas berhubung siasatan ke atas buku memoirnya.

