malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DUN bawah PH tak dibubar serentak: Salahkan Umno, kata Loke
ADS

Umno harus dipersalahkan atas kos tambahan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan dengan PRU15, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke berkata PH tidak boleh dipersalahkan kerana ia telah pun mengumumkan bahawa Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kami sudah nyatakan pendirian kami sejak awal lagi. Kalau tidak mahu membazir wang rakyat, tunggu tahun depan baru bubar Parlimen.

"Buat pilihan raya sekarang adalah akibat dipaksa oleh Umno. Malah PAS pun telah menyatakan bahawa mereka tidak akan membubarkan (DUN yang mereka kuasai)," kata Loke ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia mengulas gesaan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob agar semua kerajaan negeri - kecuali Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor - agar membubarkan DUN untuk menjimatkan kos melaksanakan pilihan raya.

Loke berkata dia menjangka PH akan berpegang kepada keputusan awalnya dan tidak akan akur dengan seruan Ismail Sabri.

Hari ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sekali lagi menyatakan pendirian tersebut.

“Kita konsisten mengatakan bahawa kita harus memberi tumpuan terhadap banjir dan pemulihan ekonomi. Kalau perkara ini dilupakan, kelam kabut jadi lebih tinggi.

“Tetapi ada lagi mereka (kerajaan) yang masih tak faham dan menggesa PRU diadakan,” katanya seperti dipetik Selangorkini.

Pada 5 Oktober lepas, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah memutuskan bahawa DUN masing-masing tidak akan dibubarkan sehingga musim tengkujuh tamat.

Ini bagi membolehkan kerajaan tiga negeri itu menumpukan usaha bantuan banjir.

Tiga hari kemudian, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat pengisytiharan sama melibatkan Terengganu, Kedah dan Kelantan - tiga negeri yang lazimnya terjejas dengan ketara semasa musim tengkujuh.

Lihat Komen