malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIC kekal bertanding semua kerusi tradisi, kata presiden
ADS

MIC kekal bertanding di kesemua kerusi tradisinya pada PRU15 iaitu sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN, kata Presiden MIC SA Vigneswaran.

Vigneswaran berterima kasih kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi atas keputusan berkenaan yang diumumkan ketika pelancaran Brigade Kebangsaan MIC pada September lepas.

“Kerusi tambahan bagi MIC untuk PRU15 masih dalam peringkat perbincangan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid merasmikan perhimpunan agung parti itu yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein. Sebanyak 3,000 perwakilan dan pemerhati hadir pada perhimpunan itu.

ADS

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Vigneswaran

Vigneswaran pada perhimpunan itu berikrar MIC akan berusaha bersungguh-sungguh bersama dengan jentera BN untuk memenangi semua kerusi ditandingi pada PRU15, dan tindakan akan diambil terhadap ketua bahagian yang tidak menolong calon parti komponen BN lain.

Mengakui antara faktor kegagalan MIC pada PRU lepas adalah lambat menamakan penyelaras untuk kawasan yang akan ditandingi, dia berkata bagi mengelakkan keadaan berulang, penyelaras telah dilantik dua hingga tiga tahun lepas untuk bekerja di semua kerusi tradisi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen