Rancangan kerajaan untuk membina lima buah sekolah menengah pada 2023 dengan peruntukan tinggi sebanyak RM430 juta boleh dikurangkan kepada separuh dengan perbelanjaan berhemat dan menutup ketirisan, kata Presiden Forum Tamil Malaysia K Arumugam.
“Kos purata RM83 juta setiap sekolah adalah jumlah yang besar untuk membina sebuah sekolah menengah.
"Kos boleh dikurangkan separuh jika terdapat perbelanjaan berhemat dan ketirisan ditutup," katanya.
Arumugam berkata tiada peruntukan khusus diberikan untuk penyelenggaraan sekolah Tamil tetapi peruntukan untuk semua sekolah ditetapkan sebanyak RM1.1 bilion dan menganggap peruntukan RM15.1 bilion untuk pendidikan tinggi sebagai berat sebelah.
Dia menjelaskan peruntukan itu akan memberi manfaat kepada pendidikan Bumiputera melalui pelbagai universiti awam, UiTM dan program pendidikan luar negara.
“Peruntukan yang tidak seimbang berdasarkan rangka kerja dasar afirmatif ini tidak membuahkan hasil yang diingini sambil mewujudkan 'brain drain' dalam proses itu.
"Sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi tumpuan secara beransur-ansur kepada merit dan bukannya kepada identiti atau pemikiran politik," katanya.
Bagaimanapun, bekas pensyarah universiti dan juga bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik menerusi Twitter berkata terdapat penurunan ketara dalam peruntukan untuk IPTA.
"Penurunan ketara peruntukan untuk majoriti IPTA dalam Bajet 2023 berbanding tahun ini walaupun kesemuanya kini sedang bergelut membuka semula kampus masing-masing usaiwabak Covid-19," katanya.
Sementara itu, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli dalam temu bual dengan TV3 menyifatkan pembinaan lima sekolah baru dengan kos RM430 itu sebagai membimbangkan.
Dia menyatakan kebimbangannya berkenaan pertumbuhan penduduk dan hasrat untuk mengurangkan bilangan pelajar dalam setiap kelas.
Dasar berasaskan kaum jejaskan kualiti pendidikan
Arumugam menggesa kerajaan untuk ‘bangkit’ dalam dunia globalisasi dan berusaha memperbaiki kualiti pendidikan di negara ini kerana jelasnya, keputusan berasaskan dasar yang berteraskan identiti etnik akan menjejaskan kualiti pendidikan.
“Meningkatkan peruntukan dalam bajet tidak semestinya meningkatkan kualiti pendidikan,” katanya.
Sambil meyambut baik belanjawan tersebut secara keseluruhan, Arumugam berkata ia dapat memanfaatkan aktiviti ekonomi, meningkatkan kepenggunaanan, mewujudkan pekerjaan dan membolehkan banyak wang beredar.
Bagaimanapun, dia kesal kerana bajet itu tidak menangani isu ketirisan yang menjadi kebimbangan utama.
“Harga meningkat disebabkan oleh Ringgit yang semakin lemah dan pendapatan garis kemiskinan makanan bagi B40 sebanyak RM1,169 adalah terlalu rendah,” jelasnya.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat lalu mengumumkan komitmen untuk meluaskan syarat kelayakan penerima bantuan kebajikan selaras dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 iaitu RM1,169.
Dalam pembentangan bajet tersebut, Tengku Zafrul mengumumkan lebih 450,000 isi rumah kini layak menerima bantuan bulanan JKM.
Zafrul mengumumkan peruntukan RM2.5 bilion untuk tujuan itu pada 2023, yang merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan RM1.5 bilion pada 2020.
Sementara itu, Arumugam berkata peruntukan RM100 juta di bawah MITRA dan RM25,000 lagi yang diperuntukkan untuk usahawan India dilihat tidak mencukupi dan sebagai penyedap hati semata-mata.
Dia berkata walaupun peruntukan itu dapat membantu program komuniti, prasekolah, belia dan NGO, ia perlu dinaikkan kepada RM200 juta dan diletakkan di bawah MITRA.