Lebihan akaun semasa dijangka akan meningkat kepada RM73.04 bilion atau 4.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) pada tahun 2023 berbanding jangkaan RM50.8 bilion atau 3.1 peratus daripada PNK pada tahun 2022.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini, akaun barangan dijangka mencatat lebihan yang lebih tinggi sebanyak RM216.24 bilion selain akaun perkhidmatan dijangka mencatat defisit lebih kecil sebanyak RM52.60 bilion pada tahun 2023.
Akaun pengangkutan dijangka mencatat defisit lebih rendah sebanyak RM33.9 bilion, akaun perjalanan dijangka merekodkan defisit lebih kecil sebanyak RM5.71 bilion dan akaun perkhidmatan lain dijangka mencatatkan defisit lebih kecil sebanyak RM12.98 billion pada tahun 2023.
Menurut laporan itu, akaun pendapatan premier dijangka mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM70.37 bilion, bayaran pendapatan pelaburan dijangka mencecah RM135.09 bilion dan pampasan pekerja dijangka mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM9.06 bilion pada tahun 2023.
Terimaan dalam akaun pendapatan sekunder pada tahun 2023 dijangka meningkat kepada RM25.7 bilion dan bayaran dalam akaun pendapatan sekunder dijangka meningkat kepada RM45.91 bilion seterusnya mengakibatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM20.23 bilion.
Sementara itu, lebihan akaun semasa imbangan pembayaran mengecil kepada RM7.4 bilion atau 0.9 peratus daripada PNK pada separuh pertama 2022 disebabkan lebihan lebih rendah dalam akaun barangan dan defisit lebih besar dalam akaun pendapatan walaupun akaun perkhidmatan mencatat defisit lebih kecil.
“Pada separuh kedua 2022, lebihan akaun semasa dianggar meningkat kepada RM43.4 bilion atau 5.3 peratus daripada PNK berikutan lebihan lebih besar dalam akaun barangan meskipun akaun perkhidmatan dan pendapatan mencatat defisit lebih besar.
“Prestasi memberangsangkan ini dijangka berterusan sehingga akhir 2022 dengan lebihan akaun semasa mengecil kepada RM50.8 bilion atau 3.1 peratus daripada PNK,” katanya.
Menurut laporan itu, akaun barangan dijangka mencatat lebihan yang lebih tinggi pada 2022 sebanyak RM195 bilion disokong oleh peningkatan eksport barangan pembuatan, pertanian dan perlombongan berbanding RM170.6 bilion pada tahun 2021.
Sementara itu, akaun perkhidmatan dijangka mencatat defisit lebih kecil sebanyak RM59.7 bilion berikutan peningkatan terimaan dalam akaun perialanan meskipun akaun pengangkutan dan perkhidmatan lain merekodkan defisit lebih tinggi pada tahun 2022 berbanding RM60.73 bilion pada tahun 2021.
“Pembukaan sempadan antarabangsa dan peralihan kepada fasa endemik telah menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelancong dan menjadikan defisit lebih kecil dalam akaun perjalanan sebanyak RM10.8 bilion pada tahun 2022 berbanding RM14.6 bilion pada tahun 2021.
“Dalam pada itu, akaun pengangkutan dijangka mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM34.4 bilion pada tahun 2022 berbanding RM32.5 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan oleh perolehan pendapatan lebih rendah oleh syarikat tempatan yang melibatkan tambang penumpang syarikat penerbangan dan caj fret.
“Akaun perkhidmatan lain juga dijangka mencatat defisit lebih besar sebanyak RM14.5 bilion pada tahun 2022 berbanding RM13.7 bilion pada tahun sebelumnya berikutan peningkatan bayaran untuk perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal dimiliki pihak lain; perkhidmatan insurans dan pencen; serta perkhidmatan persendirian, kebudayaan dan rekreasi,” katanya.
Akaun pendapatan primer dijangka mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM69.5 bilion pada 2022 berbanding RM41.6 bilion pada tahun sebelumnya berikutan peningkatan defisit dalam pendapatan pelaburan susulan bayaran pendapatan lebih tinggi dan sebahagiannya disebabkan oleh penghantaran balik keuntungan dan dividen oleh pelabur asing di Malaysia.
Bayaran pendapatan pelaburan dijangka mencecah RM133.7 bilion pada tahun 2022 selain pampasan pekerja dijangka mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM7.9 bilion berikutan peningkatan bilangan profesional asing di Malaysia susulan penerusan semula projek berimpak tinggi.
Laporan itu berkata terimaan dalam akaun pendapatan sekunder pada 2022 dijangka meningkat kepada RM24.7 bilion berikutan penerimaan 'one-off' dan kiriman wang masuk yang lebih tinggi oleh rakyat Malaysia bekerja di luar negara.
Bayaran dalam akaun pendapatan sekunder dijangka meningkat kepada RM39.6 bilion seterusnya mengakibatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM14.9 bilion.
Peningkatan dalam bayaran adalah disebabkan oleh kiriman wang keluar yang lebih tinggi oleh pekerja asing dari Bangladesh, Filipina, India, Indonesia, dan Nepal setelah ekonomi kembali normal dan semakan gaji minimum.
Pada separuh pertama 2022, akaun kewangan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM30.7 bilion berbanding RM13 bilion pada 2021 disumbangkan oleh peningkatan ketara aliran masuk bersih dalam akaun pelaburan langsung dan akaun pelaburan lain yang melebihi aliran keluar bersih dalam akaun portfolio dan derivatif kewangan.
Pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi berjumlah RM41.7 bilion manakala aliran keluar bersih pelaburan langsung ke luar negara oleh syarikat Malaysia meningkat kepada RM18.3 bilion.
- Bernama

