malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis Temerloh nafi kejadian culik, cuma 'salah faham'
Diterbitkan:  Sep 29, 2022 3:19 PM
Dikemaskini: 8:26 AM
ADS

Polis daerah Temerloh menafikan berita mengenai dakwaan penculikan di kawasan perumahan di Mentakab, Pahang dan menyifatkannya sebagai "salah faham".

Ketua Polis Daerah Temerloh, Azhar Yusoff berkata, individu yang menyebarkan berita itu di laman Facebooknya semalam telah memohon maaf berhubung kejadian itu.

“"Pada 28 Sept jam lebih kurang 8 pagi, Ibu pejabat Polis Daerah Temerloh Pahang telah mengesan satu posting yang dikongsi oleh pemilik akaun 'Aisyah Eca' di laman sesawang Facebook Temerloh dan Mentakab mengenai berita kejadian cubaan culik di dalam daerah Temerloh iaitu di kawasan Mentakab.

"Wanita itu telah melihat kereta berwarna gelap diletakkan berhampiran rumahnya dan salah tafsir sebagai kenderaan penculik. Tujuan pemilik motokar terbabit adalah untuk menukar peralatan dapur gas di rumah jirannya," kata Azhar dalam satu kenyataan.

Menurut Azhar, pemilik akaun Facebook itu juga telah memohon maaf atas salah faham berkenaan dan menjelaskan bahawa tiada kejadian culik berlaku.

Azhar dalam pada itu turut meningatkan orang ramai bahawa polis memandang serius penyebaran berita palsu.

“Perbuatan ini merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dan kes juga boleh disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutankepada mana-mana golongan awam.

"Pihak polis menyeru dan mengingatkan kepada masyarakat supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan dan kebenaran sesuatu berita sebelum membuat perkongsian di mana-mana platform media sosial," katanya.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat laporan yang tidak dapat disahkan dan tersebar di media sosial mengenai cubaan culik, terutamanya membabitkan pelajar sekolah di beberapa negeri.

Pihak polis bagaimanapun menafikan laporan sedemikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen