malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cameron Highlands: MIC tuntut semula, Umno enggan serah - sumber
Diterbitkan:  Sep 28, 2022 10:08 PM
Dikemaskini: 2:08 PM
ADS

Kerusi parlimen Cameron Highlands di Pahang merupakan kerusi tradisi MIC sehingga parti komponen BN itu menyerahkannya kepada Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2019.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon BN daripada MIC C Sivarraajh pada pilihan raya umum ke14 (PRU14) kerana membeli undi.

Seorang pesara pegawai kanan polis daripada suku Orang Asli Semai, Ramli Mohd Nor (gambar, bawah) mewakili Umno mengekalkan kerusi parlimen untuk BN.

Menurut sumber dalaman BN, MIC sedang berusaha untuk menuntut semula kerusi itu, yang dianggap sebagai salah satu kerusi selamat BN, pada pilihan raya umum akan datang.

"MIC meminta kami mengembalikan Cameron Highlands," kata sumber Umno, yang rapat dengan pejabat presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dengan syarat enggan dinamakan, sumber itu mendakwa Umno tidak bersedia berbuat demikian kerana memenangi kerusi itu dengan majoriti lebih besar berbanding MIC.

Pada PRU14, Sivaraajh memenangi kerusi itu dengan majoriti 597 undi manakala pada PRU13, lima tahun sebelumnya, bekas presiden MIC G Palanivel merangkul kerusi itu dengan majoriti 462 undi sahaja.

Ramli pula menewaskan tiga yang lain untuk menawan kerusi itu dengan majoriti 3,238 undi pada pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, satu lagi sumber mendakwa MIC sanggup memberikan Umno mengekalkan Cameron Highlands sebagai pertukaran dengan kerusi lain yang "pasti-menang".

"BN tidak pernah kalah di Cameron Highlands sejak 2008. Jadi MIC berharap untuk mendapat kerusi yang mempunyai prospek serupa untuk PRU15," kata sumber itu.

Sumber juga mendakwa Umno telah menyatakan kesediaannya untuk membenarkan MIC bertanding di Nibong Tebal di Pulau Pinang namun MIC tidak berminat dengan kerusi itu.

"Kami tidak berminat dengan Nibong Tebal kerana ia bukan kerusi pasti menang. BN telah kalah di sana (Nibong Tebal) sejak pilihan raya umum 2008," kata sumber itu daripada MIC.

Ketika dihubungi, penyandang Cameron Highlands itu enggan terlibat dalam isu itu.

"Apa pun, saya serahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan. Kerana saya orang parti," kata Ramli dalam mesej teks kepada Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen