malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PBT Kelantan akui Nik Abduh mohon bantuan sempena kenduri
ADS

Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesahkan mereka menerima permohonan bantuan daripada Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin, mengesahkan mengenai permohonan bekas ketua Pemuda PAS itu kepada Malaysiakini.

Katanya permohonan berkenaan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit melalui sepucuk surat.

"Pejabat saya terima surat itu," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu tular gambar sepucuk surat daripada Nik Mohamad Abduh yang memohon kemudahan tertentu daripada pihak MPKB-BRI.

Surat bertarikh 20 Sept lalu itu antara lain meminta PBT terbabit menyediakan beberapa kemudahan untuk melicinkan perjalanan sebuah majlis yang dirancang.

Antara kemudahan itu ialah meja, kerusi dan hiasan bunga.

Surat tersebut menjelaskan, anak bekas menteri besar Kelantan itu membuat permohonan bagi melancarkan majlis bekwoh (kenduri) kesyukuran Keluarga Besar Nikmatillah yang diadakan sempena perkahwinan anak Nik Mohamad Abduh.

Kenduri tersebut dilangsungkan di kawasan pekarangan masjid dan sekolah agama berhampiran rumah Nik Abdul Aziz hari ini.

"Sehubungan dengan itu sukacita dipohon kerjasama daripada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan penguatkuasaan kawalan lalu-lintas yang sewajarnya untuk melancarkan majlis tersebut," kata Nik Mohamad Abduh dalam surat tersebut.

Ketika ditanya sama ada MPKB-BRI meluluskan permohonan itu atau sebaliknya, Rosnazli dilihat enggan mengulas lanjut.

"Saya tak catat luluskan pun (pada surat tersebut)," katanya selepas dua kali ditanya sama ada permohonan tersebut diluluskan atau tidak.

Lihat Komen