malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr Mahathir cadang PRU15 lepas musim banjir
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 12:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM
ADS

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas musim banjir bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terhadap pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dan suai kenal bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Putrajayahari ini, Dr Mahathir berkata selain mengambil kira faktor keselamatan, bencana banjir juga menyukarkan pergerakan pengundi.

“Masa yang sesuai ialah waktu tenang bukan sewaktu bencana, tidak berlaku banjir atau angin kencang.

"Kalau musim banjir bukan sahaja sukarkan pergerakan malah mungkin mendatangkan musibah seperti kecederaan atau kematian.

“Sebab itu waktu banjir tidak sesuai untuk adakan pilihan raya,” katanya ketika ditanya tarikh yang sesuai untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Beliau berkata setiap parti yang bertanding juga dapat membuat persediaan rapi sekiranya PRU15 diadakan bukan ketika musim banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum menetapkan calon yang akan mewakili gerakan itu pada PRU15.

Ditanya perkembangan pendaftaran GTA, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberikan maklum balas dalam tempoh sebulan dari tarikh penyerahan permohonan logo serta pendaftaran gerakan itu.

Pada 6 Sept lepas, jawatankuasa penaja GTA telah bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

GTA ditubuhkan pada 4 Ogos lepas, disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

- Bernama

Lihat Komen