malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis iring Thaksin, Yingluck atas faktor keselamatan
ADS

Polis Pulau Pinang mengesahkan bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra dan adik perempuannya Yingluck Shinawatra berada di negeri ini dan pihaknya menugaskan beberapa anggota untuk mengiringi mereka atas faktor keselamatan.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata penugasan mengiringi kedua-dua individu itu dilakukan kerana mereka dikenali ramai dan orang berkepentingan memandangkan kedua-duanya adalah bekas perdana menteri negara jiran itu.

"Kawalan keselamatan itu diberikan kepada mereka kerana bimbang kemungkinan jika ada pihak yang (mempunyai) niat tidak baik terhadap mereka.

“Kami polis menjalankan tugas demi keselamatan, tiada isu lain dan saya rasa isu tersebut tidak perlu dipolitikkan kerana polis hanya menjalankan tugas dalam aspek menjaga keselamatan," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Mohd Shuhaily berkata sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku ke atas Thaksin dan Yingluck, semua pihak akan menyalahkan atau menunding jari kepada polis kerana gagal menjaga keselamatan orang awam dan pelancong yang datang ke negeri ini.

"Saya jaga Pulau Pinang, oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan di sini terjamin. Jika jadi apa-apa, siapa yang akan dicari dahulu, mesti polis," katanya.

Dua hari lepas, gambar Thaksin dan Yingluck tular di media sosial yang menunjukkan mereka berada di beberapa lokasi popular di Pulau Pinang untuk menikmati makanan dan berjalan-jalan.

Yingluck dalam cacatan Facebooknya turut memuat naik 16 keping gambar semalam dan dalam hantaran itu, beliau dan abangnya juga dilihat menikmati pelbagai jenis makanan tempatan.

Dalam catatan itu, Yingluck berkata ini merupakan lawatan kedua beliau ke Pulau Pinang selepas sekian lama akibat penularan COVID-19 dan turut mengambil gambar dengan beberapa mural dan seni lukisan dinding yang terkenal di Lebuh Armenian.

Pasangan adik-beradik itu hidup dalam buangan selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera.

Thaksin dilantik sebagai Perdana Menteri Thailand pada 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 selepas dituduh terbabit dalam rasuah dan tidak menghormati sistem beraja negara itu. 

Yingluck pula adalah Perdana Menteri wanita pertama Thailand dan berkhidmat mulai 2011 hingga 2014 sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa, namun bertindak melarikan diri dari negara berkenaan selepas berdepan tuduhan kecuaian menjalankan tugas.

- Bernama

Lihat Komen