malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Najib dalam keadaan baik, dihantar ke Penjara Kajang semula’
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 8:42 AM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) menjelaskan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak yang mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut kini dalam keadaan baik dan telah diberikan perlepasan perubatan bagi membenarkannya dihantar semula ke Penjara Kajang.

“Adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

“Hasil pemeriksaan terkini yang telah dilakukan terhadap beliau oleh pakar perubatan rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh jurupulih perubatan fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri,” kata pusat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

HRC juga memaklumkan bahawa pakar perunding yang berkaitan telah mengadakan sidang keluarga bersama Najib dan ahli keluarganya, dan mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan bekas perdana menteri itu.

Dua minggu lalu, dia dihantar ke HKL atas alasan perut - yang menurut keluarganya disebabkan tekanan.

Dia kemudiannya dibenarkan keluar tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas sekali lagi mengadu sakit, kali ini akibat masalah tekanan darah, sebelum dipindahkan ke HRC.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini menjelaskan Najib dipindahkan ke HRC dari HKL kerana memerlukan perkhidmatan fisioterapi.

Khairy menegaskan Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan sebarang layanan istimewa.

Katanya, ahawa dia tidak boleh mendedahkan butiran mengenai keadaan perubatan Najib kerana protokol kerahsiaan pesakit.

Sebelum ini pelbagai pihak mendakwa bahawa sistem penjagaan kesihatan awam kini disalahgunakan untuk memberi bekas perdana menteri layanan istimewa dan beberapa kemudahan lain.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Lihat Komen