malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rasuah: Dua bekas pegawai Imigresen dipenjara 3 tahun, denda RM85,000
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 8:05 AM
Dikemaskini: 8:14 AM
ADS

Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak, masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan denda RM85,000 di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini, selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah tujuh tahun lepas.

Hakim S Indra Nehru menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, bermula hari ini dan dipenjara 10 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan atas kesalahan meminta suapan RM10,000 setiap bulan supaya tiada pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan di Manjung.

Indra Nehru turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini dan denda RM35,000 serta lapan bulan penjara, jika gagal membayar denda itu ke atas kedua-dua mereka, masing-masing bagi dua kesalahan memperoleh suapan sebanyak RM7,000.

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Zulhairin dan Zaidi didakwa dengan niat bersama meminta suapan RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek, sebagai dorongan untuk memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan di Pusat Bandar Seri Manjung.

Kesalahan itu dilakukan di Club House Meru Valley Golf & Country Club di Ipoh pada kira-kira pukul 9 malam 5 Nov 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zulhairin juga didakwa sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Perak memperoleh suapan berjumlah RM7,000 daripada Nga menerusi Zaidi, sebagai dorongan memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan sama di Restoran Knock Knock Meru Jaya di Ipoh, pada kira-kira pukul 12.05 tengah malam 12 Nov 2015.

Zaidi turut didakwa sebagai Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Negeri Perak memperoleh suapan untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Perak berjumlah RM7,000 daripada Nga, sebagai dorongan memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf & Country Club di Ipoh, pada kira-kira pukul 9.55 malam 11 Nov 2015.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala Zulhairin diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Zaidi diwakili peguam Zamri Idrus dan Mohd Fadly Hashim.

Terdahulu, pihak pembelaan merayu supaya anak guam mereka dikenakan hukuman rendah atas alasan ia adalah kesalahan pertama dan telah memberi kerjasama baik sepanjang tempoh perbicaraan, selain perlu menanggung keluarga.

Bagaimanapun Maziyah memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang berat supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai dan penjawat awam, terutama agensi penguatkuasaan, bagi membendung amalan rasuah daripada menjadi barah dalam masyarakat dan sistem pentadbiran kerajaan.

- Bernama

Lihat Komen